PETALING JAYA: Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Nor Hizwan Ahmad menafikan dakwaan kononnya Datuk Zuraida Kamarudin dijangka mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Malah beliau menyifatkan segala dakwaan tersebut hanyalah sebagai khabar angin dan tidak berasas.
“Semuanya kekal khabar angin,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Memetik laporan sebuah portal sebelum ini, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang bukan hanya sudah menerima tawaran mengetuai PBM, tetapi turut mengadakan mesyuarat secara rahsia di hujung minggu bersama barisan kepimpinan parti itu di Putrajaya.
Menurut portal itu, Zuraida dikatakan telah mengadakan mesyuarat bersama barisan kepimpinan PBM Putrajaya beberapa hari sebelum pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada 20 November lalu. – UTUSAN ONLINE










