Canggung, Jikey, Hadrah dan Trinai terus dipertahan - Utusan Malaysia

Canggung, Jikey, Hadrah dan Trinai terus dipertahan

SEKITAR suasana sidang DUN Perlis di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri sentiasa komited memulihara dan memperkasa warisan seni dan budaya Perlis bagi mengelakkan kebanggaan rakyat itu pupus ditelan arus pemodenan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Asmaiza Ahmad berkata, berdasarkan penelitian dan penilaian daripada Jabatan Warisan Negara, beberapa kesenian dan kebudayaan di Perlis diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Katanya, antara kesenian dan kebudayaan Perlis berstatus Warisan Kebangsaan yang  diwartakan sejak 2018 itu adalah seperti tarian canggung.

Selain itu, katanya, Teater Tradisional Jikey berstatus Warisan Kebangsaan itu juga diwartakan pada 2015.

“Muzik Tradisi Hadrah berstatus Warisan  diwartakan pada tahun 2008 selain Tarian Trinai pada tahun sama,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Gan Ay Ling (Indera Kayangan-PKR) mengenai apakah usaha kerajaan negeri dalam memelihara, memulihara dan memperkasa warisan seni dan budaya negeri Perlis dalam kalangan rakyat di setiap peringkat umur di negeri ini.

Tambah Asmaiza, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri (JKKN) Perlis mengambil beberapa pendekatan dalam memulihara dan memperkasa warisan seni serta budaya di negeri ini.

Kata beliau, antaranya, JKKN negeri melaksanakan pelbagai program dalam mempertingkat kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya serta memupuk semangat perpaduan kaum. 

“Program-program yang dilaksanakan itu juga sebahagian daripada medium pembangunan modal insan ke arah melahirkan masyarakat yang mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam membentuk perpaduan dan keharmonian. 

“Malah, bagi mempertingkat lagi pemuliharaan dan pemerkasaan warisan dan seni budaya di negeri ini, Majlis Kebudayaan Negeri Perlis ditubuhkan sejak 1982. Di dalam majlis tersebut terdapat 11 ahli gabungan persatuan yang bernaung di bawahnya dalam usaha untuk memperkasa seni, budaya dan warisan di negeri ini,” katanya.

Katanya lagi, tiga bangunan di Perlis iaitu Istana Arau; Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) lama dan Masjid Alwi turut diwartakan sebagai tapak warisan pada 2011 dan 2018.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri juga telah berusaha memartabatkan semula baju kebaya negeri Perlis. 

“Pada tahun lepas, kita telah berjaya mencari penjahit-penjahit dengan sebanyak 15 peserta dan kita juga telah menggalakkan pemakaian baju kebaya Perlis dalam kalangan penjawat awam.

“Baju kebaya Perlis ini merupakan pakaian tradisional yang menjadi warisan budaya wanita Melayu Perlis sejak dulu lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya