PETALING JAYA: Pertama kali mengarahkan filem sejarah berbahasa Melayu, The Keris, sutradara, Viknes Perrabu, menjadikan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebagai sumber inspirasi utama sepanjang pembikinan.
Jelas Viknes, dia menonton naskhah Syamsul Yusof itu berulang kali bagi mencari formula agar dapat mencapai kejayaan seperti filem tersebut yang memperoleh kutipan RM97 juta.
“Saya mengambil inspirasi daripada filem Mat Kilau. Jika naskhah tempatan kita boleh mencapai tahap sebegitu dengan sokongan padu penonton, kenapa kita tidak boleh cuba melakukan perkara yang sama dengan The Keris?.
“Saya sendiri menontonnya sebanyak dua atau tiga kali. Matlamat kami adalah untuk menghasilkan karya yang berkualiti dan mampu menarik minat orang ramai sebagaimana filem-filem aksi sejarah yang lain,” katanya ketika ditemui di pawagam FST PJ State, di sini, baru-baru ini
Bercerita lanjut mengenai cabaran mengarahkan filem yang sarat dengan elemen budaya seperti silat, keris dan keagamaan, Viknes bersyukur kerana mempunyai kolaborasi erat dengan penulis skrip The Keris, Datuk Zulkifli M. Osman.
“Sebagai orang berbangsa India, saya sedar ada beberapa batasan. Sebab itu saya rujuk kepada Datuk Zul yang bertindak sebagai penasihat saya. Dia memantau segalanya daripada aspek skrip, bahasa, agama sehinggalah ke arah lakonan dan teknikal.
“Dengan bantuan dia, saya yakin dapat menyesuaikan jalan cerita mengikut adat dan istilah Melayu yang betul,” jelasnya lagi.
Filem The Keris yang menelan belanja sebanyak RM1 juta itu memaparkan dua latar masa berbeza iaitu zaman klasik era Hang Tuah dan zaman moden.
Menampilkan pelakon baharu bernama Syaz sebagai teraju utama, Viknes tetap berpuas hati dengan kualiti lakonan yang diberikan walaupun ia merupakan kemunculan sulung pelakon itu di layar perak.
“Walaupun bajet kita sekitar RM1 juta dan kita menggunakan wajah baharu, saya sangat berpuas hati.
“Penggambaran dilakukan selama dua bulan di lokasi bersejarah sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak demi menghidupkan suasana prasejarah dan moden seperti yang dikehendaki skrip,” ujarnya.
Ditanya mengenai sasaran kutipan, Vikneswaran memilih untuk bersikap rendah diri namun tetap meletakkan harapan tinggi agar media dan penonton menilai sendiri hasil kerja kerasnya itu.
“Saya tidak mahu meletakkan sebarang angka sasaran. Saya cuma mohon pihak media dan penonton lihat dahulu hasilnya. Jika filem ini bagus, saya percaya ia akan mencapai hasrat dan sasaran yang kita impikan,” katanya.
The Keris menceritakan tentang pengamal seni Muay Thai dan Mafia dari Rusia untuk mendapatkan Keris Tempa Melaka yang dikaitkan dengan pahlawan Hang Tuah.
Filem ini dijanga menemui peminat di pawagam bermula 2 Julai ini.










