KOTA BHARU: Gara-gara gagal melangsaikan hutang berkaitan dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), dua ahli keluarga seorang lelaki menjadi mangsa culik sebelum dibawa ke Thailand dalam kejadian minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pada 6 Jun lalu, dua mangsa lelaki berusia 51 dan 35 tahun diculik di Pasir Mas dan Tumpat dengan dibawa merentasi sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok.
Katanya, bagaimanapun kedua-dua mereka ditinggalkan di tepi jalan di Mundok, Thailand pada 8 Jun selepas suspek panik apabila polis melancarkan operasi serta sekatan jalan raya, berikutan laporan dibuat keluarga mangsa.
“Kedua-dua mangsa dijadikan cagaran oleh saudara mereka sendiri, seorang lelaki berusia 25 tahun yang berhutang dengan sindiket dadah dan penyeludupan PATI.
“Dua suspek utama dikenali sebagai Mejah, 40, dan Mamat, 32, turut membakar sebuah Perodua Myvi yang digunakan dalam penculikan berhampiran Gelang Mas, Pasir Mas bagi menghapuskan bukti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, siasatan mendapati, Mejah mengarahkan Mamat membakar kereta yang digunakan untuk membawa kedua-dua mangsa ke sempadan di Gelang Mas.
Katanya, mangsa berusia 51 tahun merupakan pemilik bengkel manakala seorang lagi bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan.
“Peminjam yang tidak membayar hutang dadah dan penyeludupan PATI itu bersama kekasihnya merupakan antara lima individu yang direman selama 14 hari sehingga 22 Jun ini untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Siasatan turut mendapati, kedua-dua mangsa dipercayai terlibat secara tidak langsung dengan kegiatan lelaki yang berhutang dengan sindiket dadah dan penyeludupan PATI itu,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, polis sedang memburu Mejah dan Mamat yang dipercayai masih bersembunyi di Selatan Thailand. –UTUSAN










