Bot nelayan karam, 10 kru selamat - Utusan Malaysia

Bot nelayan karam, 10 kru selamat

Bot nelayan Filipina yang karam di luar sempadan Malaysia berhampiran Pulau Bakungan Kecil, Sandakan hari ini.-IHSAN ATB 2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Seramai 10 awak-awak bersama seorang tekong warga Filipina berjaya diselamatkan apabila bot nelayan dinaiki karam berhampiran Pulau Bakungan Kecil, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi tadi, bot yang diinaiki 10 nelayan Filipina itu dikesan karam di luar sempadan perairan Malaysia menerusi radar pemantauan pesisir pantai (CSS) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Kemudian, Pusat Arahan Maritim (MCC) Malaysia menyalurkan maklumat berkenaan kepada MCC Filipina untuk tindakan lanjut.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan kebocoran pada bahagian badan bot kerana pukulan ombak yang kuat.

Kesemua kru kapal bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh Pasukan Marin Filipina pada pukul 10.50 pagi.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada MCC Filipina di Tawi-Tawi memaklumkan bot yang didaftarkan sebagai ML RIHANA itu karam pada kedudukan 2.3 batu nautika dari timur laut CSS Pulau Bakungan Kecil. Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ATB 2 turut mengerakkan KD PAUS ke sekitar lokasi bot karam untuk tujuan pemantauan dan keselamatan.

Maklumat kejadian turut disalurkan kepada pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk tindakan lanjut.

Abdul Karim berkata, kejayaan menyelamat bot karam itu membuktikan sistem radar milik MK ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan keselamatan sempadan perairan pantai timur Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anggota operasi untuk sentiasa menjaga keselamatan diri terutama ketika negara berada pada fasa Monsun Timur Laut yang diramalkan bermula pada 3 November dan dijangka berterusan sehingga Mac 2022.

Hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan pantai timur Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya