Bekas 'homeguard' tertua berusia 110 tahun dibantu kerusi roda - Utusan Malaysia

Bekas ‘homeguard’ tertua berusia 110 tahun dibantu kerusi roda

MAT Ariffin Mat Deris (berkerusi roda) bersama Azli Mohd. Noor (tengah) dan Amir Marwan Abu Kassim (belakang, kanan) ketika penyampaian kerusi roda dan makanan sumbangan Abdul Rahman Mohamad di Kampung Tanjung Buloh di Lipis, Pahang. – FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Bekas homeguard tertua di negara ini, Mat Ariffin Mat Deris, 110, yang kini uzur disantuni oleh Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor dan wakil Ahli Parlimen Lipis, Amir Marwan Abu Kasim di Kampung Tanjung Buloh, Kerambit dekat sini semalam.

Dalam kunjungan itu, Azli menyampaikan bantuan kerusi roda dan barang keperluan dapur sumbangan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Mat Ariffin yang bertugas sebagai homeguard antara 1948 hingga 1959 di Kampung Banggul Cik Wan, Pasir Mas, Kelantan mengalami keuzuran, tidak mampu berjalan dan penglihatan semakin kabur sejak awal tahun ini.

Menurut Azli, Mat Ariffin yang menjadi ‘keluarga angkat’ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis baru sahaja keluar daripada Hospital Lipis kelmarin setelah menerima rawatan selama dua hari berikutan me­ngalami muntah darah dan uzur

“Ahli Parlimen Lipis yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar meminta saya dan wakil Pejabat  Perkhidmatan Parlimen menziarahi Mat Ariifin serta menyampaikan bantuan.

“Dia (Mat Ariffin) antara homeguard paling tua di negara ini di samping empat orang rakannya lagi berusia antara 80 hingga 90 tahun yang masih hidup tinggal di Kampung Tanjong Buluh, Lipis dan bekas pejuang keselamatan era komunis ini telah dijadikan keluarga angkat IPD Lipis,” katanya di Tanjong Buloh dekat sini semalam.

Turut hadir Abdul Rahman, Timbalan Ketua Polis Lipis, Deputi Superintenden Idros Ismail dan Ketua Kampung Tanjung Buloh, Najid Abu.

Azli berkata, Pejabat Parlimen Lipis dan IPD di sini cukup menghargai dan menyanjung tinggi perkhidmatan Mat Ariffin kerana sanggup berkorban menjaga keselamatan kampung­ serta mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

Sementara itu Amir Marwan berkata, Ahli Parlimen Lipis maklum keadaan kesihatan Mat Ariffin yang sudah uzur dan tidak mampu berjalan di samping mengalami komplikasi gangguan penglihatan sejak awal tahun ini kini dijaga oleh salah seorang anaknya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN