AKPS rampas cubaan seludup 888 botol minuman keras

AKPS rampas cubaan seludup 888 botol minuman keras

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) mematahkan cubaan menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM110,652 di BSI, di sini semalam.

AKPS dalam satu kenyataan berkata, kegiatan penyeludupan itu dikesan susulan pemeriksaan terhadap sebuah van perdagangan dalam operasi pemantauan yang dijalankan di laluan pemandu bas arah ketibaan dari Singapura pada pukul 3.20 petang.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dibuat selepas pihak berkuasa mendapati terdapat seorang penumpang di sebelah pemandu sedangkan hanya pemandu sahaja yang dibenarkan berada dalam kenderaan menggunakan laluan tersebut.

“Tindakan pemeriksaan lanjut dijalankan setelah pemandu serta penumpang van terbabit, kedua-duanya warga tempatan berusia 38 dan 43 tahun enggan memberi kerjasama dengan tidak memberi sebarang reaksi apabila disoal.

“Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan sejumlah kotak ditutup dengan kain hitam dan mengandungi 888 botol minuman keras tidak diisytiharkan yang cuba diseludup masuk.

“Minuman keras yang dirampas dalam kapasiti berjumlah 700 liter tersebut bernilai RM17,328 manakala nilai cukai yang terlibat adalah RM93,324 menjadikan jumlah rampasan bernilai RM110,652,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semua minuman keras tersebut disita dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Sebarang perbuatan atau cubaan menyeludup serta keengganan mengisytiharkan barangan yang dibawa merupakan suatu kesalahan yang boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN