PETALING JAYA: Cuaca panas berpanjangan ketika ini dilihat memberi kesan kepada pokok durian apabila berlaku fenomena berbunga secara berterusan, namun keadaan tersebut bukan semestinya petanda hasil yang memberangsangkan.
Menerusi perkongsian video di Facebook oleh pengusaha ladang ‘The Kebun’, Zurfahiz Hussin, pokok durian dilihat berbunga dalam dua peringkat selain mengeluarkan tunas kecil atau dikenali sebagai “mata ketam”, yang menunjukkan ketidakseimbangan pertumbuhan pokok.
Berdasarkan perkongsian tersebut, keadaan itu dipercayai berpunca daripada tekanan bukan biologi (abiotik) seperti cuaca panas melampau dan kekurangan air, selain faktor biologi termasuk serangan serangga serta penyakit kulat yang lebih aktif ketika musim berbunga.
Menurut pengusaha ladang itu, bunga yang lebat tidak semestinya menandakan pokok sihat, sebaliknya boleh menjadi tanda pokok berada dalam keadaan tertekan dan bertindak untuk ‘survival’ akibat persekitaran yang tidak stabil.
Situasi berkenaan berisiko menyebabkan bunga tidak berkembang menjadi buah, malah boleh gugur sekiranya pokok tidak mempunyai tenaga serta nutrien mencukupi untuk menyokong proses pembuahan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pendekatan utama yang diambil adalah untuk menstabilkan pokok terlebih dahulu berbanding mengejar hasil, khususnya dalam keadaan cuaca panas yang dijangka berlanjutan sehingga Jun.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk kaedah siraman dalam (deep watering) bagi memastikan air sampai ke zon akar, penggunaan bahan organik untuk mengekalkan kelembapan tanah, aplikasi biostimulant bagi membantu pemulihan pokok serta kawalan kanopi bagi mengurangkan tekanan haba.
Pengusaha tersebut turut menegaskan bahawa dalam cuaca panas, pekebun tidak seharusnya memaksa pokok untuk berbuah atau melakukan pembajaan berlebihan, sebaliknya memberi fokus kepada kestabilan pokok.
“Pokok yang sihat dan stabil akan kembali produktif apabila keadaan kembali sesuai,” menurut perkongsian tersebut. – UTUSAN










