CHICAGO: Masalah pada sistem radar darat menyebabkan kelewatan ratusan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di Chicago, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, beberapa penerbangan terpaksa ditangguhkan sementara juruteknik membaiki peralatan kawalan trafik udara yang mengalami kerosakan.
Sistem radar pengawasan darat dan pengesanan itu digunakan oleh pengawal trafik udara untuk memantau pergerakan pesawat serta kenderaan di landasan dan laluan teksi lapangan terbang.
Kira-kira 12 peratus atau 350 penerbangan di lapangan terbang yang menjadi hab utama American Airlines dan United Airlines terjejas akibat gangguan itu.
FAA menyifatkan Selasa sebagai hari paling sibuk bagi perjalanan udara sepanjang tempoh cuti Thanksgiving.
Daripada jumlah penerbangan yang mengalami kelewatan, sebanyak 214 penerbangan merupakan penerbangan menuju ke Chicago.
FAA memaklumkan, kelewatan itu secara purata mencecah 47 minit dan gangguan dijangka berlarutan sehingga jam 1 pagi waktu Timur AS (6 pagi GMT) pada Rabu.- AGENSI











