TELUPID: Kerajaan negeri Sabah akan meningkatkan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini bagi menstabilkan pasaran susulan isu pembelian panik yang berlaku di beberapa kawasan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI)), Datuk Jamawi Jaafar berkata, kekurangan bekalan ketika ini berpunca sebahagiannya daripada kegagalan pemborong mengeluarkan stok yang telah dibeli.
Katanya, kira-kira 3,000 tan metrik beras yang telah dibayar masih tersimpan di stor Padiberas Nasional Berhad (Padiberas Nasional Berhad (BERNAS)) kerana tidak diambil oleh pemborong.
“Saya minta mereka menyediakan keperluan logistik seperti lori untuk mengeluarkan beras yang telah ditempah. Saya tidak mahu perkara ini menjadi satu bentuk sabotaj oleh pemborong untuk menaikkan harga. Sebenarnya tiada kenaikan harga kerana subsidi masih kekal,” katanya ketika ditemui pemberita di ladang padi Trusan Sapi, di sini.
Menurutnya, kerajaan negeri turut melaksanakan audit terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau menyalahgunakan bekalan beras subsidi susulan gangguan pasaran yang menjejaskan pengguna.
Katanya, tindakan itu diambil berikutan kegagalan beberapa pemborong hadir dalam sesi soal siasat yang dijalankan pihak berkuasa.
“Ada pemborong yang kita syak terlibat, sebab itu audit dijalankan bagi mendapatkan bukti. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara.
“Kita akan kuat kuasakan tanpa kompromi kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.
Jamawi berkata, kerajaan turut mengehadkan pembelian kepada dua kampit beras bagi setiap individu sebagai langkah mengelakkan pembelian berlebihan dan memastikan bekalan lebih stabil dan mencukupi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan.
Peniaga juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan terutama ketika ketidaktentuan harga beras di pasaran serantau dan global.
“Langkah penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi menjamin kestabilan bekalan makanan di seluruh Sabah,” katanya. – UTUSAN










