1.3 juta penjawat awam terima bonus bulan depan - Utusan Malaysia

1.3 juta penjawat awam terima bonus bulan depan

SEbahagian penjawat awam keluar dari pejabat untuk waktu makan tengah hari ketika tinjauan kapasiti penjawat awam kembali bertugas di Laman Selera Perdana, Putrajaya. – utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 1.3 juta penjawat awam dan sejuta pesara menerima bayaran bantuan khas kewangan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.3 bilion yang dikreditkan dalam akaun masing-masing bersekali dengan gaji Januari ini.

Berkongsi berita gembira itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khai­rul Adib Abd. Rahman berkata, surat kelulusan berhubung pembayaran itu daripada Kementerian Kewangan sudah diterima pihaknya kelmarin.

“Secara umum, yang layak akan dibayar dalam gaji bulan Januari 2022,” katanya di sini semalam.

Dalam pembentangan Bajet 2022 lalu, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 manakala RM350 kepada sejuta pesara.

Mengikut kebiasaan, bayaran gaji penjawat awam disalurkan setiap 25 hari bulan yang mana jika pada bulan tersebut terdapat perayaan tertentu, maka bayaran gaji dibayar lebih awal.

Bayaran bantuan khas itu adalah tertinggi sejak 2019 yang mana sebelum ini penjawat awam dan pesara menerima masing-masing RM600 dan RM300 pada Bajet 2021, (RM500 dan RM250 – Bajet 2020 dan Bajet 2019).

Golongan berkenaan pernah menerima bayaran bonus paling tinggi sebanyak RM1,500 manakala pesara menerima RM750 iaitu termasuk bayaran bantuan khas Aidilfitri pada Bajet 2018 sewaktu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemberian bantuan khas kepada golongan sektor awam itu membuktikan keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk terus mendukung penyampaian perkhidmatan awam melalui inisiatif pembaharuan dalam Bajet 2022.

Ia sekali gus menunjukkan kerajaan tetap komited meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, selain terus menjaga kebajikan golongan itu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini turut menyifatkan pemberian bantuan itu setimpal dengan pengorbanan mereka yang mencurah masa dan tenaga semasa pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Kata beliau, usaha penjawat awam perlu diambil kira dalam melaksanakan program pemulihan dan imunisasi kebangsaan, penguat kuasa yang menjalankan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), para petugas kesihatan, malah ada yang terpaksa korbankan cuti demi menjalankan tugas.

“Saya sendiri berasal dari sektor swasta, saya faham keluhan itu, tetapi saya fikir kalau dibandingkan dengan bonus tahunan pekerja swasta, ia bukanlah pada kadar berlebihan,” katanya seperti dipetik dalam program televisyen tempatan baru-baru ini.

Selain pemberian bantuan khas itu, pelbagai inisiatif lain turut diberikan menerusi Bajet 2022 bagi mengiktiraf pengorbanan penjawat awam khususnya petugas barisan hadapan, iaitu gantian cuti rehat (GCR) dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.

Di samping itu, kerajaan juga akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dengan kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak.

Selain itu, kerajaan turut memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental.

Kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antaranya, menurunkan kadar keuntungan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar untuk penjawat awam daripada empat kepada dua peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.