Wang Kelian kembali aktif seludup ketum - Utusan Malaysia

Wang Kelian kembali aktif seludup ketum

UNIT berkuda FRU melakukan penugasan di kawasan pagar sempadan Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Wang Kelian yang sebelum ini ‘sepi’ sebaik sahaja penemuan kem dan kubur yang menempatkan 139 mayat di satu lokasi di atas bukit pada 2015, kini kembali aktif menjadi laluan penyeludup khususnya melibatkan daun ketum yang masih mendapat permintaan tinggi di Thailand.

Meskipun bentuk muka bumi di kawasan tersebut dikelilingi hutan tebal dan cerun bukit curam, kumpulan penyeludup tidak menghiraukan risiko berkenaan demi mendapatkan keuntungan lumayan.

Selain itu, penguatkuasaan yang ketat di sekitar kawasan Padang Besar menjadi antara faktor kumpulan sindiket daun ketum itu cuba memilih Wang Kelian yang bersempadanan dengan wilayah Satun, Thailand sebagai laluan baharu aktiviti penyeludupan.

Jarak antara Wang Kelian ke sempadan Thailand kira-kira dua kilometer manakala dari kawasan Wang Burma pula kira-kira lima kilometer.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Azhar Hashim mendedahkan, sindiket penyeludupan menggunakan pelbagai cara untuk mengaburi mata pihak berkuasa yang mengawal kawasan sempadan darat sejauh 94 kilometer itu.

Katanya, sindiket penyeludupan tersebut sangat licik dan sering menukar modus operandi dalam usaha menyeludup keluar daun ketum yang mendapat permintaan tinggi di negara jiran.

Ujarnya, sindiket penyeludupan daun ketum itu lazimnya terbahagi kepada dua kumpulan iaitu dari sebelah sini dan Thailand.

“Kumpulan penyeludup di sebelah Malaysia mengutip dan mengumpulkan bekalan daun ketum sebelum meletakkan daun ketum itu di dalam guni lalu ditindan seakan-akan timbunan guni baja.

“Apabila hari semakin gelap, satu lagi kumpulan antara dua hingga 10 orang dari Thailand menyelinap masuk ke sempadan Malaysia lalu menggalas guni yang diubah suai seperti beg galas bagi memudahkan pergerakan membawa keluar bahan terlarang itu melalui jalan tikus.

“Pergerakan kumpulan tersebut sangat pantas dan mereka hanya memerlukan antara tiga hingga lima minit membawa guni berisi daun ketum seberat kira-kira 30 kilogram keluar dari tempat yang ditinggalkan sebelum menyelinap di dalam hutan tebal,” katanya.

Menurut Azhar, kumpulan tersebut dilihat sangat terlatih dan tahu selok-belok kawasan hutan tersebut serta sanggup meredah laluan cerun bukit yang tinggi dan berbatu tajam sebelum masuk ke sempadan Thailand tanpa menghiraukan keselamatan nyawa.

Katanya, pergerakan kumpulan “penghantar’ dari Malaysia ada yang menggunakan motosikal diubah suai sehingga bunyi enjin dan ekzos hampir tidak kedengaran selain lampu kenderaan sangat samar.

Ujarnya, kumpulan dari Thailand pula mampu bergerak di dalam hutan tanpa menggunakan sebarang bantuan cahaya lampu.

“Laluan tikus yang digunakan sentiasa berubah-ubah. Kumpulan ini biasanya cuba mengelak daripada bertembung dengan pihak berkuasa. Sekiranya mereka mengesan kehadiran polis, daun ketum ditinggalkan sebelum melarikan diri menuju ke Thailand semula.

“Sindiket penyeludupan ini menganggap laluan tersebut selamat, namun mereka tersilap kerana pihak berkuasa sentiasa mengawasi dan memantau rapat pergerakan mereka sehingga mematahkan beberapa cubaan menyeludup daun ketum berskala besar hasil risikan dan maklumat awam sebelum ini.

“Batalion 3 PGA juga sentiasa bekerjasama dengan ketiga-tiga ibu pejabat polis daerah di negeri serta kontinjen Perlis dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya mempertingkat rondaan seperti menggunakan kereta perisai di jalan keselamatan serta mendapat kerjasama unit berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan bagi (FRU) tujuan pencegahan.

“Selain itu, kita bertukar-tukar maklumat dengan polis sempadan Thailand dan tentera negara itu dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan.

“Kawalan sempadan dari Bukit Kayu Hitam ke Perlis pula, kita turut menggunakan khidmat polis marin dan unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masing-masing melakukan pengawasan di udara serta laut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×