PETALING JAYA: Tiada sebarang aduan berkaitan rasuah dan penyogokan membabitkan proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada mana-mana pihak sejak agensi itu melancarkan bilik gerakan PRN.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, selain bilik gerakan berkenaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menjadi ejen pemerhati kepada Suruhanjaya ini dilapangan.
Kata beliau, NGO terlibat menjadi mata dan telinga bagi memastikan kepatuhan di sepanjang kempen berlangsung supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).
“Setakat ini, tiada aduan diterima namun jika ada maklumat kita terima berkaitan PRN, kita akan mulakan pemantauan dan siasatan,” katanya ringkas.
Pada 8 November lalu, SPRM melancarkan bilik gerakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang memulakan operasi 24 jam di Pejabat SPRM Melaka, Alai, dekat sini.
Bilik gerakan itu dilancarkan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan mengenai sebarang perbuatan rasuah serta salah guna kuasa berkaitan PRN.
Ditanya mengenai perkembangan siasatan dakwaan membabitkan penyelewengan royalti projek tambakan laut, Mohd. Shahril berkata, kertas siasatan diserahkan kepada Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Kami di peringkat negeri tidak terlibat dengan siasatan yang dijalankan. Jadi tiada jawapan berapa ramai saksi telah dipanggil berhubung kes itu,” jelasnya.
Terdahulu, SPRM mengesahkan telah mengambil keterangan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berhubung dakwaan membabitkan penyelewengan royalti projek tambakan laut itu pada 7 November lalu.
Sebelum ini, Idris mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir yang menyebabkan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
SPRM dalam reaksi segera turut memaklumkan memandang serius dakwaan Idris dan akan menghantar pegawai untuk bertemu dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Menurut SPRM, mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama. – UTUSAN ONLINE