TEKANAN kerja melampau, budaya toksik, ugutan dan manipulasi di tempat kerja kini bukan lagi isu peribadi yang perlu dipendam. Keadaan ini boleh menjadi punca gangguan mental dan fizikal, malah pekerja yang terjejas mempunyai hak untuk membuat aduan rasmi kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Masalah kesihatan mental dalam kalangan pekerja sering disalah tafsir sebagai kelemahan diri. Hakikatnya, persekitaran kerja yang toksik turut diiktiraf sebagai risiko pekerjaan yang boleh mencetuskan kemurungan, gangguan kebimbangan dan serangan panik. Jika tidak dikawal, boleh membawa kepada implikasi lebih serius termasuk kecenderungan mencederakan diri.
Seorang pekerja swasta yang enggan dikenali berkongsi pengalaman mengalami tekanan melampau akibat ugutan dan penghinaan berterusan oleh penyelia.
“Saya mula ‘hilang’ tidur, jantung berdebar dan akhirnya disahkan mengalami tekanan melampau,” katanya.
Peguam buruh yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah Anis, menjelaskan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mewajibkan majikan memastikan persekitaran kerja yang selamat, termasuk aspek mental. Majikan boleh dipertanggungjawabkan jika tekanan kerja berpunca daripada buli, eksploitasi atau beban kerja tidak munasabah.
Sarah Anis turut menegaskan pekerja perlu membuktikan kes dengan jelas sebelum membuat aduan. Antara langkah penting termasuk mendapatkan diagnosis doktor, menyimpan bukti seperti mesej atau emel, serta merekod kronologi kejadian secara terperinci.
Pekerja juga boleh mengemukakan aduan rasmi kepada JTK, JKKP atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui saluran bertulis atau dalam talian. Laporan perlu disertakan dengan bukti perubatan dan kronologi lengkap bagi memudahkan siasatan.
Contohnya, tekanan boleh direkodkan secara berperingkat seperti peningkatan beban kerja, ugutan berulang, gangguan tidur, serangan panik dan akhirnya diagnosis perubatan.
Walaupun ramai pekerja takut untuk bersuara kerana bimbang kehilangan pekerjaan, namun tindakan berdiam diri hanya akan memburukkan keadaan. Tekanan berpanjangan boleh merosakkan kesihatan mental dan menjejaskan kehidupan seharian.
Kesihatan mental bukan isu kecil. Tempat kerja sepatutnya menjadi ruang yang selamat dan produktif, bukan medan tekanan yang merosakkan manusia. Pekerja perlu berani mendapatkan bantuan, mengumpul bukti dan menggunakan saluran undang-undang yang ada untuk mempertahankan hak mereka. –UTUSAN
DR. LUQMAN MAHMUD
Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










