PADANG BESAR: Pasangan suami isteri dari Chuping, di sini mendakwa anak sulung mereka berusia 12 tahun menjadi mangsa buli fizikal dan mental di sekolah, sekali gus memberi kesan trauma yang mendalam.
Norasikin Hasin, 32, dan Muhamad Abdul Hadi Mohd Fauzi, 32, mendakwa, kejadian terbaharu, pada Februari lalu apabila anak perempuannya itu mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama sebuah sekolah di sini.
Menceritakan lebih lanjut mengenai kejadian, Norasikin berkata, pada peringkat awal, dia bersama suami hanya menyangka anak yang mesra disapa kakak itu mengalami sakit biasa namun mulai curiga apabila mendapati kanak-kanak tersebut lebih banyak menghabiskan masa tidur secara berlebihan berbanding kebiasaan.
“Dalam tempoh tiga hari sebelum saya bawa dia (anak) ke hospital, kakak tidur dari pukul 2 petang hingga 1 pagi keesokan hari. Saya cuba kejutkan kakak untuk mandi dan makan, tetapi dia menolak dengan ia berlarutan beberapa hari.
“Pada 16 Februari, semasa kami menziarahi saudara, barulah saya perasan terdapat kesan lebam pada tubuhnya dan dilihat sering menahan sakit di bahagian belakang badan. Sejurus menyedari keadaan itu, saya bersama suami meminta kakak menceritakan perkara sebenar.
“Kakak akhirnya mendedah dan mendakwa sering dibuli oleh tiga rakan sekelas yang sering memaksa menyiapkan kerja sekolah. Sebelum ini, kumpulan kanak-kanak berkenaan difahamkan hanya membuli kakak secara mental antaranya dengan memulau, menghasut rakan-rakan lain supaya tidak berkawan dan kemuncak apabila salah seorang dari mereka telah bertindak menarik kerusi kakak ketika mahu duduk.
“Hasil ujian sinar-X di hospital, doktor mendapati tulang belakang anak saya itu sedikit lari daripada kedudukan asal. Sejak 22 Februari hingga awal Mac lalu, kakak ditahan di wad, malah turut disahkan menghidap Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) selain di diagnos mengalami masalah sistem saraf (Functional Neurological Disorder (FND) oleh pakar neurologi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Kata suri rumah itu, kesan trauma akibat buli itu turut mengubah kehidupan anak daripada seorang berperwatakan ceria kini hanya sering menyendiri selain meracau, halusinasi serta bergantung kepada ubat penenang setiap hari.
“Walaupun berada di rumah bersama kami, ada ketika dia menjerit dan membaling barangan seolah-olah sedang berhalusinasi. Saya juga telah membuat laporan polis pada 25 Februari lalu namun sehingga kini, tiada sebarang perkembangan positif diterima, malah aduan diusulkan kepada pihak berwajib juga masih dalam status menunggu hasil siasatan.
“Kakak sebelum ini sering meluahkan hasrat ingin menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah berasrama penuh, namun saya gusar apabila sudah empat bulan kakak tidak dapat ke sekolah,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi pula berkata, dia bersama isteri hanya mahukan keadilan sewajarnya buat anak sulung daripada dua beradik itu yang kini berubah secara drastik.
Katanya, pendapatan bulanan sebagai petani sekitar RM1,300 turut terjejas berikutan perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi menampung kos perubatan, petrol untuk ulang-alik ke hospital serta perlu membeli alat sokongan badan mencecah ribuan ringgit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, malah kertas siasatan turut dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.-UTUSAN










