Terokai teknologi blockchain - Tuanku Aishah Rohani - Utusan Malaysia

Terokai teknologi blockchain – Tuanku Aishah Rohani

TUANKU Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud menyampaikan titah Pengisytiharan Konvokesyen ke-19 USIM, di Dewan Tuanku Canselor, USIM, di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Tuanku Canselor, universiti tersebut di Nilai di sini hari ini. 

Ketibaan baginda yang juga Canselor USIM, diiringi Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Pro-Canselor USIM, Datuk Seri Dr. Tun Zaki Tun Azmi. 

Baginda bertitah agar USIM melangkah setapak lagi dengan melihat kepada teknologi blockchain yang kini semakin mendapat perhatian. 

“Para saintis di USIM boleh meneroka bidang teknologi ini supaya dapat memastikan semua data penting dapat disimpan, selamat, tidak boleh diubah ataupun dihapuskan oleh pihak yang cuba untuk menggodam data dan mencuri maklumat. 

“Penggunaan teknologi ini, akan membantu keselamatan dan privasi pangkalan data USIM,” titah baginda dalam Perisytiharan Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-19 USIM hari ini.

Baginda bertitah lagi, kehadiran pandemik Covid-19 yang melanda negara telah memberikan banyak kesan kepada sektor pendidikan.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran terpaksa diubah suai, sehingga menyebabkan kemampuan dan ketabahan para pensyarah serta pelajar, diuji, mental dan fizikal. 

“Bagaimanapun, beta percaya semua yang berlaku mempunyai hikmah yang boleh diambil pengajaran. USIM akan tetap utuh dengan visi dan misinya untuk melahirkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan prinsip dan nilai Islam,” titah baginda. 

Tambah Tuanku Aishah Rohani, gabungan ilmu agama dan sains adalah amat penting untuk memberi keseimbangan dalam membuat keputusan demi membina sebuah kehidupan yang lebih sejahtera.

“Kita seharusnya bersyukur kerana Malaysia telah beralih dari fasa pandemik kepada fasa endemik. Namun, kita masih perlu berhati-hati dan mengekalkan gaya hidup norma baharu dengan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan kerajaan. 

“Jika diteliti SOP tersebut, akan dapat melihat bahawa semuanya mempunyai kaitan dengan ajaran agama Islam yang menuntut kita menjaga kebersihan sehingga dikatakan “kebersihan itu sebahagian daripada iman,” titah baginda lagi.

Seramai 2,560 graduan USIM diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM Ke-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berlangsung bermula hari ini sehingga 30 November depan.

Majlis konvokesyen kali ini turut meraikan dua orang graduan sulung masing-masing dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat iaitu Doktor Falsafah Ekonomi Pentadbiran Muamalat mod Penyelidikan Gunaan dan daripada Program Sarjana Bahasa Arab (Kesusasteraan Islam) dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama.

Mengetuai penerima penganugerahan iaitu Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Dakwah dan Pengurusan Islam) secara anumerta kepada Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil yang merupakan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah USIM.

Pensyarah dan Peguam Kanan, Datuk Dr. Baljit Singh Sindhu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-Undang dan Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Ramli Abd. Samad dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah). 

Dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dianugerahkan kepada Suwaibah Mustapha, 23 (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian) dan Muhammad Syamim Md. Morshid, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko).

Bagi Anugerah Canselor (Pra-siswazah) dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang dengan Kepujian, Nur Alia Farisha Jemangin, 23, dan graduan Program Doktor Falsafah Sains dan Teknologi, Muslimah Ithnin, 35.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya