TAPAH: “Terima kasih, minta maaf kerana menyusahkan rakyat Malaysia”.
Itu ungkapan yang diucapkan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih sebaik melihat pengamal media.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jaslinda yang dilihat dalam keadaan lemah itu menzahirkan ucapan maaf kepada semua atas kehilangannya dalam tempoh lama sejak 23 Mei lalu.
Katanya, dia sangat menghargai usaha pasukan penyelamat serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan dirinya.
“Terima kasih, minta maaf kerana menyusahkan,” katanya ketika menerima rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya keadaan dirinya, Jaslinda hanya tersenyum dan memberitahu keadaannya baik.
“Ok tak oklah…..nikmati hidup,” ujarnya.
Jaslinda yang hilang sejak 15 hari lalu ditemui berjalan menyeberangi jambatan oleh seorang penduduk Orang Asli yang sedang memancing pada pukul 5.10 petang.
Dia kemudiannya di bawa ke rumah tok batin yang terletak kira-kira satu kilometer sebelum dijamu hidangan mi goreng, nasi berlaukkan ayam goreng dan ikan tengas serta ubi kayu. – UTUSAN










