Dikhianati BN, apa salah saya - Aminuddin - Utusan Malaysia

Dikhianati BN, apa salah saya – Aminuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mempersoalkan apakah kesalahan yang telah beliau lakukan sehingga menyebabkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri itu mengkhianatinya.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR turut memberitahu, keputusan pihaknya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan ‘terpaksa’ dibuat disebabkan perkara itu.

“Negeri Sembilan terpaksa adakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebab sekejap mereka (BN) kata sokong, kemudian tarik sokongan, kemudian kata tidak mahu Menteri Besar. Apa salah saya, saya pun tidak tahu.

“Pentadbiran di Negeri Sembilan berjalan baik, pembangunan dapat diteruskan, kemajuan dan pendapatan bertambah, semuanya tersusun dan tertib. Tetapi malangnya sahabat kita tidak sabar, mereka khianati kita,” katanya ketika berucap pada program Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Johor di sini, malam ini.

Tambah Aminuddin, tindakan BN di Negeri Sembilan dan di Johor perlu dijadikan peringatan kepada rakyat seluruh negara agar tidak memilih parti politik yang tidak mengutamakan kesejahteraan rakyatnya.

“Ini bukti kepada kita semua, apa yang berlaku di Negeri Sembilan tidak boleh berulang di mana-mana. Kita mahukan kerjasama, hormat dan ikhlas bahawa janji perlu disepakati.

“Sehubungan itu, saya mahu rakyat faham apa yang telah berlaku. Jadi berikan sokongan baharu kepada PH dengan mandat yang lebih besar untuk pastikan pembangunan dan kestabilan di negeri Johor dan Negeri Sembilan berjalan dengan baik. Ini peluang kita,” katanya.

Kelmarin, Aminuddin mengadakan sidang akhbar pada pukul 11 malam memaklumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan sekaligus mengakhiri spekulasi berkaitan sejak beberapa minggu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN