Nakawan Ultra bantu promosi, perkenal Banjaran Nakawan di mata dunia - Utusan Malaysia

Nakawan Ultra bantu promosi, perkenal Banjaran Nakawan di mata dunia

LARIAN Nakawan Ultra 2026 acara dwitahunan yang dinanti kembali, dijadual berlangsung pada 12 Disember depan di Kompleks Eko Pelancongan Bukit Ayer, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Larian Nakawan Ultra 2026 acara dwitahunan yang dinanti kembali, dijadual berlangsung pada 12 Disember depan di Kompleks Eko Pelancongan Bukit Ayer di sini.

Penganjuran Nakawan Ultra edisi ketiga yang mewarnai kalendar sukan pelancongan negara itu bakal menawarkan pengalaman larian denai yang unik di Banjaran Nakawan iaitu banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Mengangkat tema ‘The Thrill of Northern Trails’ Nakawan Ultra bukan sekadar perlumbaan ultra maraton, malah menjadi platform mempromosikan keindahan alam semula jadi, budaya dan produk pelancongan Perlis kepada peserta dari dalam dan luar negara.

Laluan perlumbaan yang merentasi denai hutan, kawasan perkampungan tradisi, sawah padi dan bukit batu kapur bakal memberi cabaran fizikal serta mental menguji ketahanan setiap peserta.

Penganjur, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, Nakawan Ultra terus mengekalkan konsep ‘runcation’ iaitu gabungan aktiviti larian dan percutian, membolehkan peserta menikmati pengalaman pelancongan yang autentik sambil meneroka destinasi menarik di Perlis.

Katanya, bagi edisi 2026, peserta boleh memilih untuk menyertai kategori 50 kilometer (km), 30 km dan 10 km yang telah dibuka penyertaan kepada pelari pelbagai peringkat umur.

Beliau berkata, acara tersebut dijangka menarik penyertaan pelari tempatan dan antarabangsa yang ingin merasai sendiri keunikan Banjaran Nakawan serta panorama menakjubkan yang menjadi kebanggaan negeri Perlis.

“Kejayaan penganjuran edisi-edisi sebelum ini telah membuktikan bahawa Nakawan Ultra bukan sahaja menjadi acara sukan lasak yang dinanti-nantikan, malah turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui peningkatan kehadiran pelancong, penggunaan kemudahan penginapan, restoran dan perkhidmatan komuniti tempatan.

“Acara dianjurkan setiap dua tahun sekali itu juga mendapat pengiktirafan daripada majalah Time Out Asia sebagai laluan acara denai ketiga tercantik selepas Vietnam Trail Marathon di Vietnam & Angkor Ultra Trail di Kemboja peringkat Asia pada 7 April 2025 lalu.

“Untuk edisi 2026, Nakawan Ultra juga bakal mendapatkan sanksi dan sokongan daripada peringkat antarabangsa,” katanya di sini hari ini.

Ku Hasrin berkata, pihaknya juga mengalu-alukan penyertaan daripada komuniti pelari, pencinta aktiviti luar serta pelancong untuk bersama-sama merasai pengalaman luar biasa di utara tanah air dan menjadikan Nakawan Ultra sebagai destinasi larian denai pilihan di Malaysia.

“MEP21 bersama Komuniti Wang Gunung juga baru melancarkan tema acara baru sukan pelancongan di Perlis iaitu ‘ Malaysia Northernmost Border Run’ yang lebih fokus dan penjenamaan antarabangsa melibatkan tiga acara sukan pelancongan utama.

“Iaitu melibatkan acara Padang Besar Night Run pada 8 Ogos 2026, Nakawan Ultra pada 12 Disember 2026 dan Perlis Ultra Marathon (Putra) pada 9 Oktober 2027.

“Acara berkenaan mensasarkan jumlah penyertaan 5,000 pelari keseluruhan dalam negara dan lebih 500 peserta luar yang melibatkan tujuh negara luar.

Segala maklumat berkaitan acara boleh melayari laman web www.nakawanultra.com.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN