TAPAH: ‘Berkat doa anak-anak dan rakyat Malaysia membolehkan isteri saya ditemukan dengan selamat’.
Itu kata suami kepada Jaslinda Saludin, pendaki wanita yang ditemukan hari ini selepas hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak hampir dua minggu lalu.
Haszman Othman, 61, berkata, dia sangat bersyukur dengan berita isterinya ditemukan dalam keadaan selamat hari ini.
Menurutnya, ia merupakan berita yang sangat dia nanti-nantikan setelah hampir dua minggu lalu apabila isterinya berjaya ditemukan.
“Anak-anak amat bersyukur apabila Jaslinda akhirnya ditemukan dengan selamat. Mereka teruja dapat tengok gambar ibu mereka.
“Yang penting kita dapat dia balik dalam keadaan selamat walaupun dia kurang sihat. Ini adakah berkat doa anak-anak dan doa rakyat Malaysia yang bersama-sama Jaslinda, terima kasih rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Haszman memberitahu, dia menerima berita mengenai isterinya dijumpai selepas dia serta dia anak Jaslinda iaitu Nurin Darwisyah Mohd Faizal, 26, Dhia Damia Mohd Faizal, 21, menunaikan solat hajat di kaki Gunung Batu Putih petang tadi.
“Ya petang tadi saya dan anak-anak sembahyang hajat, berdoa supaya Jaslinda balik kepada kami sekeluarga. Allah makbulkan doa kami.
“Mungkin hari ini hari yang terbaik bagi kami, Tuhan makbulkan doa kami, doa anak-anak, doa rakyat Malaysia, saudara mara dan netizen. Mungkin juga berkat anak-anak datang ke sini hari ini,” katanya.
Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai isterinya ditemukan pada pukul 4 petang selepas dihubungi pihak polis.
“Selepas polis memberitahu mengenai penemuan isteri saya, saya diberikan gambar isteri saya untuk pengesahan.
“Saya sangat gembira kerana penantian dua minggu sudah berakhir,” katanya.
Dia berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) isterinya termasuk komuniti Orang Asli.
“Terma kasih kepada polis, bomba, JPAM, badan-badan NGO dan Orang Asli. Kami tak dapat nak membalas jasa mereka,” katanya. – UTUSAN










