Suami isteri ditahan, dadah sejumlah RM1.1 juta dirampas

Suami isteri ditahan, dadah RM1.1 juta dirampas

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) melihat pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan minggu lalu pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan dua sindiket dadah dalam tempoh dua hari dengan merampas kira-kira 35 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis berjumlah lebih RM1.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru, minggu lalu.

Hasil risikan selama sebulan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah melakukan serbuan dengan menahan lima orang dalang sindiket berkenaan termasuk pasangan suami isteri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 dan 49 tahun di dalam sebuah kenderaan kira-kira 3 petang berhampiran kedai makan di Kota Tinggi, Selasa lalu 

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan utiliti sukan jenis Honda CRV menemukan 14.5 kg ganja bernilai RM36,392 yang berada di dalam bonet. 

“Modus operandi sindiket dadah ini adalah dengan menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Susulan penahanan itu, polis turut menyita kenderaan berkenaan, motosikal jenis Yamaha LC135, wang tunai RM564 dan mata wang Singapura berjumlah $279 dolar.

Ayob Khan berkata, hasil saringan urin mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan warga Indonesia terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta disyaki sudah berada di negara ini secara haram sejak lima tahun lalu.

Kedua-dua suspek itu ditahan reman selama seminggu sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam operasi berasingan, kita telah melancarkan dua serbuan dalam operasi khas antara 9 pagi hingga 3 petang di sekitar Johor Bahru, Rabu lalu. Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditangkap bersama sejumlah dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin. 

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Susulan daripada serbuan tersebut, kita telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri berusia 53 dan 59 tahun dengan seorang suspek positif ketamin dan turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Modus operandi sindiket dadah yang beroperasi sejak Ogos lalu adalah dengan menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal yang dijadikan stor pembungkusan dadah untuk aktiviti ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar Johor Bahru,” ujarnya. 

Hasil tangkapan itu, polis merampas 21.18 kg serbuk ekstasi, 78.6 gram (g) ketamin, 1.8 g syabu, 90 pil ekstasi dan 170 pil eramin 5. Selain itu, sebuah kereta mewah jenis BMW dan wang tunai RM3,495 turut dirampas, manakala ketiga-tiga suspek direman selama seminggu.

“Dadah yang dirampas dalam kesemua serbuan itu boleh digunakan seramai 85,838 orang penagih. Polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya