PETALING JAYA: Tahap keselamatan radiasi di fasiliti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) disahkan selamat dan terkawal serta tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal.
Kementerian kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, pihaknya melalui Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP) telah menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan dakwaan kewujudan kluster kanser dalam kalangan kakitangan di Unit Perubatan Nuklear PPUM.
Katanya, siasatan ini dilaksanakan bagi menilai tahap keselamatan radiasi serta pematuhan terhadap keperluan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).
“Hasil siasatan mendapati bahawa tahap keselamatan radiasi di fasiliti berkenaan adalah selamat, terkawal serta tiada isu pematuhan keselamatan sinaran yang kritikal.
“Sehubungan itu, tiada bukti teknikal yang menyokong dakwaan bahawa pendedahan radiasi di fasiliti ini telah menyebabkan kejadian kanser dalam kalangan kakitangan,” katanya hari ini.
Tambah KKM, bahawa keselamatan pesakit, pekerja kesihatan dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan.
“Pemantauan berkala serta audit pematuhan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua fasiliti mematuhi standard keselamatan radiasi yang ditetapkan,” katanya.
Oleh itu, KKM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.
“KKM komited untuk memastikan ketelusan maklumat dan akan terus menyalurkan maklumat yang tepat berdasarkan bukti teknikal,” katanya.
PPUM sebelum ini didakwa melakukan pelanggaran serius terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) serta sengaja memanipulasi laporan teknikal bagi menutup kelemahan pengurusan keselamatan radiasi di institusi berkenaan.
Dakwaan itu dibangkitkan oleh Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (#ReformIPT) bersama salah seorang mangsa kluster kanser yang mengemukakan bukti berhubung kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menjejaskan keselamatan kakitangan di Jabatan Radiologi hospital itu. – UTUSAN










