PETALING JAYA: Beberapa pegawai penguat kuasa disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah bagi melepaskan kontena bermasalah susulan siasatan terhadap sindiket pengisytiharan palsu barang import.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perkembangan itu diperoleh hasil siasatan berterusan agensi berkenaan yang kini giat membongkar rangkaian sindiket tersebut.
Katanya, setakat ini lima individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan melibatkan pengimport, ejen penghantaran serta orang tengah.
“Siasatan menjurus kepada kegiatan membuat pengisytiharan palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke negara ini kepada pihak kastam.
“Taktik itu dipercayai digunakan bagi mengelak atau mengurangkan bayaran duti import,” katanya di sini hari ini.
Katanya, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah melaksanakan operasi bersepadu sejak 21 April lalu menerusi Op Celio.
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Sejak Selasa lalu, sebanyak 26 lokasi telah digeledah membabitkan premis syarikat dan kediaman suspek di sekitar Lembah Klang.
“Operasi diteruskan hari ini di Pulau Pinang dan Kelantan dengan menyasarkan dua lagi premis melibatkan pihak consignee,” katanya.
Katanya, SPRM juga akan merakam keterangan individu lain termasuk daripada pihak consignee dan ejen penghantaran bagi melengkapkan siasatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan perkembangan berkenaan.
Katanya, setakat ini sebanyak 133 akaun milik individu dan syarikat telah dibekukan dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM185 juta. – UTUSAN









