JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu tindakan mahkamah melibatkan pesalah-pesalah terlibat dengan dakwaan melakukan ketirisan petrol dan diesel disegerakan bagi menangani isu berkenaan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) pada 6 April lalu.
Katanya, perkara tersebut melibatkan beberapa peringkat seperti proses siasatan, pendakwaan dan juga pendengaran di mahkamah.
“JTPAP telah memutuskan untuk menyegerakan tindakan undang-undang bagi kesalahan terkait dengan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. Pendekatan ini bagi memastikan pemerkasaan penguatkuasaan menangani ketirisan bahan api secara berkesan dengan pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.
“Antara cadangan adalah penambahbaikan di peringkat kehakiman seperti saluran fast-track, penetapan hakim khusus dan penyelarasan pasukan pengurusan kes antara agensi dan institusi,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke sebuah stesen minyak di Taman Mount Austin, di sini hari ini.
Tambah Armizan, keutamaan akan diberi kepada pendakwaan melibatkan kes-kes kartel sindiket serta pendekatan bersasar seperti perundingan akuan bagi kes-kes kecil.
“Tindakan penguatkuasaan yang agresif dan tegas menjadi lebih penting apabila konflik di Asia Barat masih berlarutan sehingga kini, ia bukan sahaja menyebabkan krisis tenaga global tetapi kini telah memasuki fasa krisis bekalan global dan tidak Malaysia tidak terkecuali.
“Susulan keputusan JTPAP, Ops Tiris 4.0 akan dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan meliputi darat, air dan sempadan iaitu KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Sementara itu, Armizan juga memberitahu, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 sejak 16 Mac hingga semalam telah menyaksikan 20,020 pemeriksaan premis dibuat di seluruh negara dengan 362 kes dibuka serta 105 individu ditahan.
“Daripada 362 kes tersebut, penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan jumlah kes tertinggi, selain gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula dan tepung gandum,” katanya. – UTUSAN










