Restoran ingkar arahan penutupan premis, didenda RM4,000

Restoran ingkar arahan penutupan premis, didenda RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sebuah restoran didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini setelah didapati bersalah mengingkari arahan penutupan premis makanan yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan, tahun lalu.

Majistret, R. Salini menjatuhkan hukuman denda itu selepas orang kena saman (OKS), Indahpura Third Junction Café menukar pengakuannya kepada bersalah ketika prosiding sebutan semula kes sebelum perbicaraan.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara empat bulan, sekiranya OKS gagal membayar denda tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa ingkar kepada perintah arahan penutupan premis makanan tidak suci di restoran itu di Jalan Kenanga 29/4, Taman Indahpura, di sini pada pukul 2.40 petang, 23 Februari 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Fakhruz Zaman Ma’rof dan Muhd. Azizul Masri.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai kesihatan telah pergi ke restoran berkenaan, dua hari selepas premis makanan itu mendapat arahan penutupan pada 21 Februari 2025 bagi tujuan pemantauan.

Difahamkan, hasil pemantauan yang dijalankan mendapati restoran itu tidak mematuhi perintah bertulis penutupan premis menjual makanan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 setelah menjalankan perniagaan seperti biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini