Selepas raih Hadiah Sultan Qaboos, FRIM sasar jadi Tapak Warisan Dunia - Utusan Malaysia

Selepas raih Hadiah Sultan Qaboos, FRIM sasar jadi Tapak Warisan Dunia

ISMAIL Parlan (kanan) menunjukkan plak Hadiah Sultan Qaboos 2021 yang diterima FRIM pada Persidangan Agung UNESCO di Paris. – Foto ihsan FRIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kejayaan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di peringkat global turut mencetuskan semangat untuk agensi itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia pula.

Hasrat luar biasa itu disuarakan oleh Ketua Pengarahnya, Dr. Ismail Parlan ketika berucap mewakili FRIM setelah menerima Hadiah Sultan Qaboos 2021 di Paris, Perancis kelmarin anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) dan disampaikan ketika persidangan agung badan dunia tersebut.

“Kami memang menyasarkan untuk menghantar segala dokumen lengkap pertimbangan bagi pencalonan rasmi FRIM dalam tempoh masa dua hingga tiga tahun kelak,” tambah beliau lagi mengulas hadiah bagi pemuliharaan alam sekitar bertaraf sejagat yang turut diterima University for International Cooperation dari Costa Rica.

 Agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu terletak sebelah Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong, dalam kawasan seluas 545 hektar serta 16 kilometer dari Kuala Lumpur yang ditubuhkan penjajah Inggeris pada 1929 sebagai sebuah badan berkanun dalam bidang penyelidikan perhutanan tropika di dunia sebelum diletakkan di bawah Akta FRIM.

FRIM turut memiliki beberapa stesen kajian antaranya ddi Pasoh, Negeri Sembilan; Mata Ayer, Perlis; Segamat, Johor; Jeli, Kelantan; Bidor, Perak, Selandar, Melaka, Setiu, Terengganu serta Jengka, Pahang.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pencalonan FRIM dimasukkan dalam senarai tentatif pada 2017 lalu dan kini giat berusaha bagi mencapai pengiktirafan menjadi tapak warisan dunia sekali gus berharap penerimaan Hadiah Sultan Qaboos memberi peluang membantu FRIM dalam mempromosikan kepentingan penyelidikan perhutanan dan pencalonan UNESCO.

Hadiah itu diwujudkan 32 tahun lalu melalui sumbangan dana almarhum Sultan Qaboos Said dari Oman untuk individu atau organisasi cemerlang dalam bidang pengurusan alam sekitar.

 Uniknya, FRIM dipilih ekoran inisiatif dalam perlindungan spesies terancam penting negara melalui penerbitan rasmi antaranya Senarai Merah Tumbuhan Malaysia bermula tahun ini bertujuan bagi pemantauan usaha pemuliharan tumbuhan nadir dalam hutan melalui dokumentasi pengetahuan tradisional masyarakat Orang Asli serta penduduk tempatan.

Penerbitan jilid pertama itu sudah pun berjaya menghimpunkan status terkini pemuliharaan biodiversiti yang melibatkan sejumlah 1,353 taksonomi terdapat di Semenanjung Malaysia selain pelbagai aktiviti jangkauan luar dan kesedaran awam dijalankan FRIM dengan membabitkan pelajar, komuniti dan ekopelancongan turut diiktiraf panel juri UNESCO.

“FRIM diwartakan Tapak Warisan Semula Jadi pada 2009 dan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 2012, sekali gus bersedia diperakui Tapak Warisan Dunia,” kata Ismail. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN