SHAH ALAM: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa bertindak tegas untuk menyelamatkan kira-kira 426 juta kanak-kanak di semua zon konflik seluruh dunia.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memaklumkan PBB harus bertindak secara konkrit selaras penganjuran Hari Kanak-Kanak Sedunia 2021 yang bertema Masa Depan Lebih Baik Untuk Setiap Kanak-Kanak.
Pengerusi Sekretariat Antarabangsa MyChild Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Hari Kanak-Kanak Sedunia yang diwujudkan pada tahun 1954 bertujuan menggerakkan kebersamaan di peringkat antarabangsa dalam menjaga kebajikan kanak-kanak khususnya yang terlibat dalam zon konflik.
“Abad ke-21 adalah abad kemusnahan manusia yang paling teruk. Mangsa yang paling terdedah kepada kebanyakan konflik yang berlarutan ialah kanak-kanak.
“Kami mengingatkan masyarakat dunia bahawa 20 November adalah tarikh pada tahun 1959 apabila Perhimpunan Agung PBB menerima pakai Deklarasi Hak Kanak-kanak. Premis deklarasi itu adalah atas dasar bahawa kanak-kanak biasanya terdedah kepada keganasan kejam dalam sebarang konflik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, gesaan itu adalah rasional kerana tarikh itu pada 1989, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.
Katanya lagi, rekod mengenai situasi kanak-kanak di negara yang dilanda peperangan seperti Afghanistan, Syria dan Yaman adalah teruk dan masyarakat dunia perlu bertindak tanpa berlengah.
“Kami menyatakan kebimbangan kami yang mendalam dengan keadaan kanak-kanak yang semakin teruk terdedah kepada serangan sewenang-wenang oleh pihak yang bertelagah.
“Serangan berkala oleh tentera pendudukan Israel ke atas Gaza, membunuh dan mencederakan beribu-ribu kanak-kanak termasuk bayi sudah cukup untuk menggerakkan dunia bertindak segera jika nyawa kanak-kanak yang tidak bersalah tidak mahu terus terkorban,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, semua pihak perlu melaksanakan usaha kolektif untuk menyokong, mempromosi dan meraikan hak kanak-kanak, menterjemah ke dalam dialog dan tindakan yang akan membina dunia yang lebih baik untuk kanak-kanak. – UTUSAN










