LIPIS: Lima orang termasuk kanak-kanak terselamat apabila sebuah kereta jenis Perodua Alza terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 18 Jalan Lipis-Benta berdekatan stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lipis di sini, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.08 pagi, mangsa yang juga pemandu kereta, Abdul Walid Ruslan, 30, cuma mengalami kecederaan ringan, manakala isterinya, Nurul Nabila Salleh, 28, dan tiga orang anak berusia antara antara 4 hingga 9 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, polis trafik di sini menerima panggilan tentang kemalangan tersebut pada pukul 4.30 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian di KM 18 Jalan Lipis – Benta.
“Kemalangan berlaku ketika cuaca hujan apabila sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu oleh Abdul Walid dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terbalik ketika .
“Ahli keluarga mangsa yang datang dari arah Kelantan untuk pulang ke Kuala Lumpur, bagaimanapun terselamat dan cuma pemandu mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, hasil pemeriksaan x-ray di hospital di sini mendapati semua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan pulang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Lipis, Haslizan Ramli berkata, anggota bomba di sini menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat.
“Sampai di tempat kejadian didapati mangsa di dalam kereta Perodua Alza tidak tersepit dan terus dikeluarkan untuk diserahkan kepada pihak ambulans bagi rawatan lanjut sebelum dihantar ke hopsital.
“Anggota bomba seramai enam orang terus membuat pemantauan keselamatan bagi memastikan tidak ada punca yang berbahaya di tempat kejadian sehingga operasi berakhir pukul 5.03 pagi,” katanya. – UTUSAN










