RM40 juta bantu kos operasi maahad tahfiz - Idris Ahmad

RM40 juta bantu kos operasi maahad tahfiz

IDRIS Ahmad (dua dari kanan) menyerahkan peralatan perniagaan kepada Azidi Sudin (tiga dari kanan) penerima MyHaus YaPEIM Perak di Kampung Seri Aman, Menglembu di Ipoh hari ini. - FOTO/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Baki peruntukan RM100 juta bagi tujuan penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat (SAR) pada 2021 akan digunakan bagi membantu kos operasi institusi pendidikan agama itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, setakat ini peruntukan sebanyak RM60 juta telah dibelanjakan bagi kos penyelenggaraan dan baik pulih infrastruktur institut berkenaan.

“Sepatutnya baki RM40 juta itu adalah wang yang digunakan untuk infrastruktur tetapi hasil perundingan saya dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz maka ia ditukarkan kepada kos operasi.

“Peruntukan itu untuk maahad tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar tetapi kita juga akan cuba beri kepada institusi yang tidak berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Perak di Kampung Seri Aman, Menglembu, di sini hari ini.

Menurut Idris, bantuan itu dilihat sebagai galakan untuk maahad tahfiz segera mendaftar dengan pihak berkuasa agama negeri masing-masing bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, mengulas sama ada terdapat maahad tahfiz ditutup ekoran masalah kewangan, beliau berkata, tiada laporan diterima pihaknya berhubung perkara tersebut.

Katanya, setakat ini juga, tiada isu maahad tahfiz atau pondok tidak dapat membayar gaji kakitangan kerana kebanyakan mereka tidak bergantung kepada kerajaan.

“Tidak timbul isu penutupan sekolah-sekolah tahfiz kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penutupan. 

“Tutup itu bukan soal diarahkan tutup kerana semua sekolah berbuat demikian ketika berlaku pandemik Covid-19. Setakat ini laporan yang ada pada kita tiada berlaku kerana kita arahkan tutup,” katanya.

Menerusi laporan media Ogos lalu, sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di Malaysia perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Presiden Permata Al-Quran, Manolito Mohd. Dahlan mendedahkan, perkara itu dikesan selepas kajian pihaknya terhadap 512 maahad tahfiz di seluruh negara.

Menurut Manolito, kajian turut mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus) dan boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.