Empat langkah tangani kenaikan kos sara hidup - Utusan Malaysia

Empat langkah tangani kenaikan kos sara hidup

JASRI JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri dicadang supaya melaksanakan empat langkah bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup yang semakin membelenggu rakyat ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, kerajaan negeri dicadang melaksanakan audit kos sara hidup Pahang yang meneliti kenaikan harga makanan, kos logistik, bekalan bahan mentah dan perbezaan harga mengikut daerah.

“Kedua, wujudkan dana intervensi kos sara hidup yang boleh dibiayai sebahagiannya daripada hasil tanah, galian dan perhutanan untuk membantu kumpulan paling terkesan.

“Ketiga, perluaskan program jualan murah dan bekalan makanan asas secara berkala, bukan sekadar bermusim atau ketika acara rasmi.

“Keempat, bantu peniaga kecil mendapatkan bahan mentah dengan harga lebih stabil melalui pembelian pukal, koperasi atau rangkaian pembekalan yang lebih tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan titah diraja Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bersempena Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini.

Jasri berkata, pencapaian hasil negeri melepasi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut sejak 2022 seperti mana diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah pencapaian boleh dibanggakan, namun tidak boleh berhenti dalam sidang DUN ini sahaja.

“Ia mesti sampai ke meja makan rakyat. Ia mesti dirasai oleh ibu bapa yang membeli sarapan anak, pekerja yang membeli makan tengah hari, peniaga kecil yang menanggung kos operasi, dan keluarga biasa yang semakin terhimpit dengan harga makanan harian.

“Kerajaan tidak boleh hanya bertanya berapa banyak hasil yang berjaya dikutip. Kerajaan juga mesti bertanya berapa banyak beban rakyat yang berjaya dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata, jika hasil negeri melonjak tetapi kos sara hidup rakyat juga meningkat, maka kejayaan fiskal itu belum cukup bermakna.

“Yang rakyat mahu bukan sekadar negeri kaya atas kertas, tetapi kehidupan yang lebih mampu, harga lebih munasabah dan dasar yang benar-benar berpihak kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN