Pembinaan rumah ibadat bukan Islam perlu ikut garis panduan - Utusan Malaysia

Pembinaan rumah ibadat bukan Islam perlu ikut garis panduan

MOHAMMAD FAKHRUDDIN MOHD. ARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri menetapkan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) perlu dibina sekurang-kurangnya 300 meter daripada rumah ibadat agama lain bagi memastikan keharmonian dan keselesaan komuniti setempat terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, ketetapan itu terkandung dalam Garis Panduan Perancangan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Pahang yang disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pahang.

Menurutnya, garis panduan berkenaan menjadi rujukan kepada pihak berkuasa negeri (PBN), pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta pemaju dalam merancang dan memantau pembangunan rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.

“Bagi rumah ibadat berlainan agama, jarak minimum yang ditetapkan ialah 300 meter dengan had ketinggian satu tingkat atau maksimum lima meter.

“Selain itu, RIBI juga tidak dibenarkan dibangunkan di kawasan rizab hutan, rizab sungai, rizab utiliti termasuk laluan kabel bervoltan tinggi serta kawasan rizab kemudahan awam lain,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly berhubung dasar dan garis panduan kerajaan negeri dalam menguruskan pembinaan rumah ibadat.

Mohammad. Fakhruddin berkata, kerajaan negeri turut tidak menggalakkan pembinaan rumah ibadat berhampiran loji kumbahan dan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, pembinaan RIBI juga digalak dibangunkan berhampiran kemudahan awam, pusat komuniti dan kawasan kediaman penganut agama terbabit selain mewujudkan suasana yang aman dan tenteram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN