Maut dirempuh ketika tukar tayar lori pancit - Utusan Malaysia

Maut dirempuh ketika tukar tayar lori pancit

MOHD. NASYIM BAHRON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang foreman tayar maut dirempuh sebuah lori ketika sedang membuat pemeriksaan dan pertukaran tayar sebuah treler yang pancit di Kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu, mangsa berusia 48 tahun dari Taman Bukit Mentakab disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah treler jenis CAMC berhenti di bahu jalan selepas mengalami tayar belakang sebelah kiri pancit.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai mekanik dan foreman tayar sedang melakukan pemeriksaan di bahagian tengah sebelah kanan treler sebelum menukar tayar tengah dengan tayar belakang yang pancit.

“Ketika mangsa sedang duduk di atas jalan membuat pemeriksaan tayar, sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah sama dipercayai telah bergesel dengan treler terbabit sebelum melanggar mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nasyim berkata, pemandu treler berusia 35 tahun dari Taman Balok Makmur, Kuantan dan pemandu lori Hino berusia 36 tahun dari Puchong, Selangor bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN