PETALING JAYA: Selangor FC mengesahkan slot ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/2026 selepas menumpaskan Nam Dinh FC, sebentar tadi.
Kejayaan menewaskan wakil Vietnam 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong membolehkan mereka mara ke final dengan agregat 4-1.
Dalam aksi berkenaan, Gergasi Merah mempamerkan penguasaan penuh dan gol pertama terhasil menerusi sepakan penalti yang disudahkan Chrigor Moraes.
Sepakan penalti diberikan kepada Selangor hasil bantuan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Mitchell Dijks mengasari Mohammad Abualnadi ketika sepakan sudut.
Moraes tidak mensia-siakan sepakan penalti itu dengan satu rembatan kencang menewaskan Manh Tran untuk Gergasi Merah mendahului 1-0 sekali gus melebarkan jurang 3-1 secara agregat.
Bersambung selepas rehat, Nam Dinh FC menggandakan asakan untuk memburu gol bagi membolehkan defisit dikurangkan sekali gus kembali dalam perlawanan.
Anak buah Kim Pan Gon terselamat pada minit ke-51 apabila jaringan Lam Ti Phong dibatalkan VAR selepas Percy Tau berada dalam keadaan ofsaid sebelum melakukan hantaran kepada penjaring gol itu.
Moraes membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledak gol keduanya pada minit ke-90 sekali gus membawa Gergasi merah ke ke final dengan agregat 4-1.-UTUSAN










