KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran sensasi negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 yang berlangsung hari ini.
Kejayaan pasangan No.4 dunia itu hadir selepas mereka melakar sejarah sebagai beregu campuran Malaysia pertama muncul juara dunia.
Kemenangan tersebut membolehkan mereka mengetepikan empat calon hebat lain iaitu ratu wushu negara, Tan Cheong Min, Emma Firyana Saroji (boling padang), Muhd Rafiq Ismail (tenpin boling), dan Mohd Abdul Latif Maxzakir (silat).
Pencapaian Tang Jie-Ee Wei menyaksikan mereka menjadi gandingan ketiga daripada sukan badminton yang merangkul anugerah utama berkenaan selepas beregu lelaki, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1995 dan 1996 serta Koo Kean Kiat-Tan Boon Heong pada 2006.
Nama mereka kini sebaris dengan jaguh badminton lain yang pernah memenangi gelaran serupa iaitu Datin Wong Mew Choo pada 2007 dan Datuk Lee Chong Wei pada 2008.
Tang Jie berkata, mereka kini memberi fokus sepenuhnya untuk memburu gelaran di laman sendiri pada kejohanan Masters Malaysia minggu depan.
“Kami mengharapkan keputusan yang terbaik bagi membanggakan rakyat Malaysia terutamanya apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri
“Ini adalah motivasi terbaik untuk kami terus melangkah,” katanya.
Kejayaan ini membuktikan dominasi sukan badminton yang menjadi penyumbang utama kecemerlangan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan apabila diumumkan sebagai Atlet Para Terbaik buat kali keempat berturut-turut.
Pengiktirafan ini diberikan susulan kejayaan luar biasanya mengungguli Kejohanan Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah, Mesir sekali gus muncul juara dunia untuk kali keempat.
Bonnie berjaya menyamai rekod jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai penerima terbanyak anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS dengan empat kemenangan.
Pemenang bagi kedua-dua kategori utama masing-masing menerima trofi serta wang tunai berjum.lah RM10,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Tafiq Johari.
Selain mengiktiraf jasa atlet, SAM turut memberi penghargaan kepada ahli media menerusi beberapa kategori kewartawanan.
Majlis turut mempertandingkan kategori lain termasuk Laporan Berita Terbaik dan Ulasan Berita Terbaik bagi media cetak dan elektronik, serta Fotografi Sukan Terbaik.-UTUSAN










