Zii Jia kandas, hanya beregu lelaki teruskan perjuangan

Zii Jia kandas, hanya beregu lelaki teruskan perjuangan

Lee Zii Jia kandas di pusingan 32 di Terbuka Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain profesional perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal meneruskan rentak kemenangannya apabila terkandas di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Stadium Nimibutr, Bangkok, Thailand, hari ini.

Bekas bintang No. 2 dunia yang kini menghuni ranking ke-67 dunia tewas straight set di tangan wakil Israel, Daniil Dubovenko 20-22, 10-21 dalam masa 38 minit.

Zii Jia belum pernah bertemu pemain yang berada di tangga ke-60 dunia itu pada mana-mana kejohanan antarabangsa dan Terbuka Thailand menjadi pertembungan pertama mereka berdua.

Kegagalan Zii Jia ke pusingan kedua menyaksikan beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang meneruskan kemaraan pada hari kedua kejohanan berstatus Super 500 itu.

Sze Fei-Izzuddin mengetepikan gandingan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita yang menghuni ranking ke-163 dunia 21-15, 17-21, 21-12 dalam masa 56 minit.

Pasangan yang kini menghuni ranking No. 9 dunia itu bakal berdepan beregu No. 35 dunia, Huang Di-Liu Yang dari China di pusingan kedua, esok.

Sementara itu, beregu pecah ganding, Choong Hon Jian-Wong Vin Sean turut tewas di peringkat 32 terbaik selepas tunduk di tangan wakil Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 20-22, 26-24, 7-21 dalam masa 1 jam 3 minit.

Meneruskan hari malang wakil negara adalah perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang tumpas kepada pemain tuan rumah berusia 18 tahun, Yataweemin Ketklieng 21-13, 19-21, 16-21 dalam masa 60 minit.

Wakil tunggal Malaysia dalam saingan beregu campuran, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien pula kecundang kepada pasangan pecah ganding China, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin 12-21, 15-21 dalam masa 29 minit.

Esok, Malaysia hanya memiliki wakil dalam sektor beregu lelaki, selepas kesemua pemain perseorangan lelaki, wanita, beregu wanita dan campuran ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama.

Selain Sze Fei-Izzuddin, beregu negara yang telah melayakkan diri pada hari pembukaan Terbuka Thailand, semalam ialah Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Haikal Nazri, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong dan Chia Weijie-Teo Ee Yi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN