Polis tahan 124 individu dipercayai terlibat kongsi gelap  - Utusan Malaysia

Polis tahan 124 individu dipercayai terlibat kongsi gelap 

SERAMAI 124 individu yang dipercayai sedang meraikan sambutan hari jadi di sebuah pusat karaoke (KTV) di Pulau Tikus, Pulau Pinang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah. - FB PDRM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Keseronokan 124 individu yang dipercayai sedang meraikan sambutan hari jadi di sebuah pusat karaoke (KTV) di Pulau Tikus, di sini terbantut selepas premis tersebut diserbu sepasukan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Timur Laut menyerbu pusat hiburan tersebut kira-kira pukul 1 pagi ini. 

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati 124 individu termasuk beberapa  warga asing berusia antara 15 hingga 70 tahun terdiri daripada 99  lelaki dan 25 wanita sedang leka berhibur dengan alunan muzik yang kuat di premis itu bagi meraikan sambutan hari jadi salah seorang pelanggan. 

“Pemeriksaan juga mendapati 26 daripada mereka disyaki mempunyai tatu ahli kumpulan kongsi gelap. 

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas 124 individu yang ditahan mendapati 21 daripada mereka positif pelbagai jenis dadah,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Kesalahan Kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya), Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang). 

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Kesalahan melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI). 

“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN