KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) masih menunggu laporan penuh siasatan insiden dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas ketika menaiki kayak Pantai Merdeka, Sungai Petani, awal bulan lalu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, selepas laporan lengkap diterima, pihaknya akan meneliti perkara tersebut sebelum mengambil tindakan susulan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Kita sedang kumpulkan dan kita akan ambil tindakan segera selepas dapat semua keputusan siasatan tersebut sebab ada banyak bahagian yang terlibat dalam siasatan tersebut.
“Jadi kita tidak ambil mudah, kita serius untuk melihat isu ini supaya tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, di sini semalam.
Pada 4 April, dua penuntut IPG Kampus Perlis dikenalpasti Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, dilaporkan lemas semasa menjalani aktiviti kayak di Pantai Merdeka sebelum disahkan meninggal dunia sejurus ditemui pukul 7.30 malam hari sama.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina menegaskan, prinsip pendidikan di negara ini adalah untuk semua kanak-kanak termasuk golongan pelarian dan pemohon suaka.
Kata beliau, kementerian sentiasa merujuk panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menguruskan isu berkaitan akses pendidikan golongan tersebut.
Menurutnya, perkara itu perlu ditangani secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan kebajikan dan akses pendidikan kanak-kanak terlibat terus diberi perhatian.
“Ini merupakan inisiatif semua pihak, bukan KPM sahaja. Dan saya harap kita akan dapat beri ruang kepada kanak-kanak ini melalui semua agensi yang melihat pada isu ini secara khusus,” katanya. – UTUSAN










