HULU SELANGOR: UMW Aerospace berjaya menghantar komponen bahagian belakang selongsong kipas (rear fan case) pertama yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia kepada Rolls-Royce plc.
Kejayaan tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam keupayaan pembuatan syarikat serta mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian nilai aeroangkasa global.
Program bahagian belakang selongsong kipas ini turut memperkukuh kedudukan Sime UMW dalam industri aeroangkasa, selain memperluas peranan UMW Aerospace dalam pengeluaran komponen enjin kritikal yang sebelum ini dihasilkan di Amerika Syarikat (AS).
Diperoleh pada 2022, program ini merupakan kontrak kedua UMW Aerospace dengan Rolls-Royce, selepas pembekalan bahagian depan selongsong kipas sekali gus menjadikan kedua-dua komponen tersebut adalah 100 peratus buatan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan UMW Aerospace, Fariz Hashim berkata, komponen ini mencerminkan tahap keupayaan tinggi yang telah dibangunkan serta kepercayaan pelanggan terhadap standard kualiti syarikat.
“Sedekad yang lalu, apabila kami bermula di Serendah, kami berhasrat untuk melakukan sesuatu yang belum pernah dicapai oleh Malaysia menjadi pembekal Tahap 1 kepada Rolls-Royce, menghasilkan selongsong kipas untuk enjin pesawat Trent 1000 dan Trent 7000.
“Dari tapak pembangunan baharu, kami berjaya membuat penghantaran pertama dalam tempoh dua tahun. Tahun lalu, UMW Aerospace meraikan ulang tahun ke-10.
“Sepanjang tempoh ini, kami telah membuktikan kami mampu memenuhi piawaian aeroangkasa global yang tertinggi.
“Kemajuan kami ditentukan oleh pembangunan keupayaan yang konsisten serta hubungan kerjasama yang semakin kukuh dengan Rolls-Royce dan diiktiraf sebagai Pembekal Berprestasi Tinggi oleh Rolls-Royce dari 2021 hingga 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Penghantaran Bahagian Belakang Selongsong Kipas oleh UMW Aerospace di Serendah, di sini semalam.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan ke majlis tersebut.
Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Pembekal, Rolls-Royce plc, Simon Royle berkata, pencapaian ini menunjukkan kematangan dan keupayaan UMW Aerospace sebagai rakan strategik jangka panjang.
“Program ini turut melibatkan pembangunan rangka kerja pengeluaran menyeluruh, termasuk proses pembuatan, peralatan khusus dan pemeriksaan, sehingga mendapat kelulusan untuk pengeluaran bersiri,” katanya.
Keupayaan syarikat diperkukuh lagi melalui pelaburan dalam teknologi pemesinan kimia termaju, menjadikannya satu-satunya syarikat di Malaysia yang memiliki kepakaran tersebut.
Harta intelek bagi keupayaan ini dibangunkan secara dalaman dan dimiliki sepenuhnya oleh UMW Aerospace.
Kemajuan ini turut disokong oleh kerajaan negeri Selangor yang membantu memudahkan pembangunan keupayaan pembuatan berteknologi tinggi di negeri tersebut.
Pada masa sama, pembangunan bakat menjadi fokus utama syarikat melalui kerjasama erat dengan universiti tempatan dan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sekali gus membolehkan UMW Aerospace membina tenaga kerja 100 peratus rakyat Malaysia.-UTUSAN










