BURNLEY: Manchester City menamatkan penguasaan enam bulan Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Burnley 1-0 di Turf Moor semalam.
Kemenangan berkenaan bukan sahaja melonjakkan City ke tangga teratas liga tetapi turut mengesahkan penyingkiran Burnley ke Divisyen Dua pada musim hadapan.
Jaringan minit kelima Erling Haaland sudah cukup untuk memastikan tiga mata penting buat skuad kendalian Pep Guardiola untuk memintas Arsenal di tangga teratas.
Kemenangan itu menyaksikan City mengatasi Arsenal menerusi kelebihan jaringan selepas kedua-dua pasukan mengumpul 70 mata daripada 33 perlawanan serta memiliki perbezaan gol sama.
Burnley pula kekal pada 20 mata, ketinggalan 13 mata di belakang zon selamat dengan hanya empat perlawanan berbaki, sekali gus sah tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.
“Kami beraksi dengan sangat baik hari ini (semalam), malangnya banyak peluang terhidang disia-siakan. Kami juga bertahan lebih baik pada babak kedua.
“Kami berdepan aksi mencabar Ahad lalu. Tidak mudah selepas tiga hari, tetapi dalam saingan EPL anda perlu menyesuaikan diri dengan apa jua situasi” kata Guardiola.
Penyokong City menyanyikan lagu ‘kami di puncak liga’ sebaik wisel ditiup, namun mereka terpaksa menunggu dengan cemas apabila Burnley memberi tentangan sengit.
Arsenal mendahului liga sejak awal Oktober, namun prestasi mereka merosot pada April dan kemenangan 2-1 City ke atas pencabar itu Ahad lalu memberi kelebihan besar kepada juara bertahan berkenaan.
City merekodkan 11 perlawanan tanpa kalah dalam kempen liga, namun mereka perlu meningkatkan prestasi dalam baki saingan jika mahu memburu gelaran kelima dalam enam musim.
Burnley pula mengalami penyingkiran kedua dalam tempoh tiga musim selepas sebelum ini naik semula dari Liga Kejuaraan dengan kutipan 100 mata.
“Saya datang ke sini dengan impian untuk kekalkan kelab ini dalam liga. Harap kami dapat membanggakan penyokong musim depan,” kata kapten Burnley, Kyle Walker yang pernah meraih pelbagai kejayaan bersama City. – AGENSI/UTUSAN










