KUALA LUMPUR: Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 yang berakhir semalam disifatkan sebagai platform berkecuali dalam aspek pertahanan ketika dunia menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia dapat dilihat melalui penyertaan meluas syarikat pelbagai negara yang menampilkan pelbagai inovasi serta produk berteknologi tinggi sektor pertahanan dan keselamatan.
Menurutnya, pameran seperti DSA dan NATSEC bukan sahaja menjadi medan pameran teknologi, malah berfungsi sebagai platform strategik memperkukuh kerjasama antara negara dan industri dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 48,347 pengunjung korporat sepanjang penganjuran berlangsung.
“Ini adalah angka yang sangat memberangsangkan dan mencerminkan keyakinan tinggi komuniti antarabangsa terhadap Malaysia serta industri pertahanan negara,” ujarnya ketika berucap pada majlis penutup DSA dan NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
DSA dan NATSEC Asia 2026 bertemakan Memperkasa Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi menekankan teknologi moden sebagai teras pertahanan dan keselamatan masa hadapan.
Pameran yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin lalu itu menghimpunkan 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, sebanyak 368 syarikat tempatan menyertai DSA dan NATSEC Asia 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan keupayaan industri pertahanan negara apabila pemain tempatan kini tampil dengan produk sendiri.
Katanya, perkembangan itu selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN)yang menggalakkan syarikat tempatan membangunkan produk berteknologi tinggi serta berdaya saing di peringkat global.
“Walaupun jumlah penyertaan syarikat tempatan kali ini sedikit berkurangan berbanding edisi lalu, kualiti yang ditampilkan jauh lebih baik apabila kebanyakan peserta mempamerkan produk buatan sendiri,” katanya. – UTUSAN










