Sidang DUN tidak terjejas

Sidang DUN tidak terjejas

TUANKU Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir memeriksa kawalan kehormat utama pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kempat, Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan Ke-15 di Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, keabsahan Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 yang berlangsung semalam tidak terjejas tanpa kehadiran pembesar-pembesar negeri yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun dengan ketidak­hadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiring beta pada setiap Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri, keadaan ini tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan ini.

“Sehubungan itu, pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa, demi memastikan kelangsungan tadbir urus yang teratur serta kepentingan rak­yat sentiasa terpelihara,” titah baginda.

Pada istiadat itu, baginda diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Baginda berdua tiba di ba­ngunan DUN Negeri Sembilan sekitar pukul 9.36 pagi dan Tuanku Muhriz kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama diketuai tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin.

Istiadat itu bagaimanapun bukan seperti kelaziman apabila tanpa kehadiran Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol; Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau; Abdul Rahim Yasin serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Selain itu, Tuanku Muhriz menitahkan individu yang diberikan jawatan dan kedudukan tinggi agar melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Oleh itu, segala tindakan dan keputusan hendaklah dibuat setelah meneliti semua fakta dan maklumat yang berkaitan serta berlandaskan garis panduan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Jangan sekali-kali membuat keputusan atau tindakan yang dipengaruhi hawa nafsu dan emosi semata-mata. Kegagalan mematuhi prinsip ini boleh menjejaskan integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri,” titah baginda.

Baginda dalam pada itu, bertitah masyarakat khususnya pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab dalam membuat ulasan dan menyebarkan maklumat.

“Kepada para netizen, beta menyeru agar setiap ulasan atau komen terhadap sesuatu isu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan kefahaman yang mendalam.

“Janganlah terlalu mudah mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita tanpa siasatan serta pengesahan yang sewajarnya. Sikap terburu-buru dan tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat boleh membawa kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan negeri,” titahnya.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, persidangan penggal kali ini akan ditangguhkan sementara sehingga mendapat tarikh yang sesuai.

“Perasmian hari ini (semalam) masih cukup syarat kerana perasmian ini hanya titah tuanku sahaja. Kerajaan negeri akan memberikan satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan nanti,” katanya.

Terdahulu, lebih 30 orang berhimpun hadapan Istana Hinggap dan Wisma Negeri di sini semalam bagi menyatakan taat setia kepada Tuanku Muhriz dan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai Sekretariat Sokongan dan Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Menteri Besar berkumpul di Istana Hinggap sejak pukul 9 pagi.

Ketua sekretariat, Prof. Dr. Mohd. Aluwi Sari berkata, kumpulan itu disertai anak waris dan ibu soko dari semua luak di negeri ini.

Pada mulanya, katanya, kum­pulan itu telah menyerahkan memorandum menyatakan sokongan dan taat kepada Tuanku Muhriz melalui Tunku Kecil Muda, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin.

“Kami kemudian bergerak ke pintu masuk Wisma Negeri untuk menyerahkan memorandum yang sama kepada Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di hadapan Wisma Negeri.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Md. Shah.

Menurutnya, pihaknya berharap kemelut yang melanda institusi istana negeri ini tidak dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab.

Ahad lalu, Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 di Balai Undang Luak Sungei Ujong, Ampangan, di sini yang turut disaksikan oleh Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Baharuddin Abdul Khalid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN