Sidang DUN Negeri Sembilan tangguh

Sidang DUN Negeri Sembilan tangguh

MK IBRAHIM ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 ditangguhkan sehingga satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan persidangan serta mengambil kira situasi semasa yang berlaku di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menetapkan tarikh baharu persidangan berkenaan.

“Berdasarkan pertimbangan saya sebagai Yang Dipertua Dewan, bagi melicinkan perjalanan DUN dan keadaan di Negeri Sembilan, persidangan kali ini ditangguhkan.

“Saya berharap segala kemelut yang berlaku ketika ini dapat dijernihkan sebelum persidangan akan datang diadakan,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Ke-15 di sini hari ini.

Istiadat disempurnakan Tuanku Muhriz pagi tadi.

MK Ibrahim berkata, ketidakhadiran Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin pada istiadat pembukaan tersebut tidak menjejaskan perjalanan majlis rasmi.

Katanya, kehadiran Tuanku Muhriz bagi merasmikan persidangan serta menyampaikan titah sudah memadai untuk melengkapkan syarat istiadat.

“Majlis tetap berjalan seperti biasa. Jika tidak cukup syarat, ia tidak boleh diteruskan. Namun dengan kehadiran Tuanku, istiadat berjalan sempurna,” katanya.

Beliau enggan mengulas lanjut berhubung ketidakhadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan memaklumkan tarikh baharu persidangan.

“Persidangan DUN Negeri Sembilan ditangguhkan pada suatu tarikh yang sesuai mengikut keadaan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×