Polis rampas 40kg ganja bernilai RM117,000 - Utusan Malaysia

Polis rampas 40kg ganja bernilai RM117,000

SHAMSUL Amar Ramli (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan ganja di rampas polis dalam satu serbuan dekat sebuah rumah setinggan di Jalan Melawis, Klang, Selangor pada 11 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dianggarkan 10,000 penagih di daerah ini terputus bekalan apabila 40.3 kilogram (kg) ganja bernilai RM117,000 dirampas polis dalam satu serbuan dekat sebuah rumah setinggan di Jalan Melawis di sini pada 11 November lalu.

Dalam serbuan antara pukul 8 hingga 9 malam itu, polis turut menahan lapan orang warga tempatan berusia 21 hingga 49 tahun dan kesemua suspek disahkan positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Selain itu polis turut menyita sebuah kereta jenis Kia Forte dan motosikal Yamaha Lagenda yang dianggarkan bernilai RM30,000 dan wang tunai berjumlah RM50,000. Malah barangan lain untuk kegunaan pemprosesan seperti alat penimbang dan gulungan plastik pembungkus juga dirampas.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli yang memberitahu serbuan berkenaan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas risikan dilakukan terhadap pergerakan suspek dan lokasi sejak sebulan lalu.

“Polis berjaya mengesan sebuah rumah setinggan yang dijadikan stor dan menemukan stok kanabis dalam tiga bentuk bungkusan berbeza dalam sebuah bilik yang sebahagiannya disorok dalam plastik hitam dan tong ikan.

“Dadah berkenaan ketika ditemukan dibungkus dalam bungkusan lebih kecil sebelum diedar dalam pasaran tempatan pada harga sekitar RM10 dan jumlahnya dipercayai boleh digunakan sehingga 10,000 orang penagih,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, ketika serbuan lima suspek berada di dalam rumah sementara tiga lagi berada di luar dan hasil siasatan didapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Dalam pada itu, Shamsul Amar menjelaskan hasil risikan juga mendapati rumah setinggan terbabit dijadikan stor dadah sejak dua bulan lalu.

“Rumah tersebut adalah rumah bujang dan polis mendapati premis terbabit membuat sambungan bekalan elektrik dan air secara haram,” jelasnya.

Suspek kemudian dibenarkan direman oleh Mahkamah Majistret Klang selama lapan hari bermula 12 hingga 19 November di bawah Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN