Profesor perubatan USM dilantik pesuruhjaya global dalam kesihatan otak

Profesor perubatan USM dilantik pesuruhjaya global dalam kesihatan otak

JAFRI MALIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang profesor perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipilih sebagai pesuruhjaya dalam inisiatif global berprestij berkaitan kesihatan otak iaitu Nature Medicine Commission on Brain Health for Economic Resilience di bawah Brain Health Workgroup.

Universiti tersebut dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Profesor Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah yang mengkhusus dalam bidang pembedahan neurologi serta sains otak, neuro dan minda itu dianggap berjaya mengukuhkan reputasi universiti berkenaan di pentas antarabangsa.

Katanya, pada masa yang sama, pemilihan Jafri yang juga merupakan felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dilihat sebagai satu pengiktirafan penting terhadap kepakaran akademik USM serta Felo ASM ketika ini.

“Pelantikan berkenaan berkuat kuasa selama dua tahun bermula suku kedua 2026 hingga suku kedua 2028, dengan pelancaran rasmi dijadualkan pada September 2026 bersempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Sementara itu, Jafri memberitahu, pelantikan tersebut membolehkan beliau memainkan peranan penting dalam sintesis bukti saintifik, pembangunan cadangan dasar khusus, semakan output antara kumpulan kerja serta pengesahan rangka kerja pengukuran dan alat dasar yang dibangunkan

“Pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan kepakaran akademik USM di peringkat antarabangsa, malah, mengukuhkan peranan universiti sebagai peneraju dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan ilmu bagi menangani cabaran global.

“Selain itu, ia juga dijangka memberi impak besar terhadap pembentukan dasar global, sekali gus meletakkan Malaysia, khususnya USM, sebagai rakan strategik penting dalam memacu agenda kesihatan otak dan ekonomi masa depan dunia,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Ketika ini, Jafri telah pun dilantik menjadi ahli Steering Committee of the Brain Capital Alliance serta the Brain Economy Hub bertempat di Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa pada 21 November 2024.

Untuk rekod, suruhanjaya berkenaan turut menghimpunkan pakar terkemuka dunia merentasi bidang neurosains, ekonomi, dasar awam dan sains pelaksanaan bagi membangunkan rangka kerja berimpak tinggi, termasuk alat pengukuran yang sahih serta strategi praktikal untuk kerajaan, institusi multilateral dan pelabur di seluruh dunia.

Antara hasil utama suruhanjaya itu termasuk penerbitan laporan berwasit dalam jurnal Nature Medicine, pembangunan kerangka Brain Capital Index, penyediaan ‘toolkit’ pelaksanaan dasar yang komprehensif serta pembentangan strategik di platform global seperti Perhimpunan Agung PBB, Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland dan sidang G7/G20.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN