PUTRAJAYA: Isu berkaitan penyaluran dana di bawah geran pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir April ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini susulan masalah berkaitan proses penyaluran dana berkenaan.
“Ada masalah dari segi penyaluran dana, jadi BSN telah menulis kepada Kementerian Kewangan mengenai perkara ini.
“Jadi Kementerian Kewangan telah menyatakan mereka akan mengambil langkah bagi memastikan perkara itu diselesaikan dan kita berharap ia dapat diselesaikan menjelang akhir April,” katanya.
ketika diminta mengulas mengenai isu kelewatan penyaluran dana melibatkan geran pendigitalan PMKS selepas melancarkan inisiatif Microsoft Elevate di sini hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom) menyeru tindakan segera diambil bagi menangani kelewatan penyaluran dana di bawah program Geran Pendigitalan PMKS Madani 2025.
Pengerusi Pikom, Alex Liew berkata, maklum balas industri menunjukkan lebih 70 peratus tuntutan masih belum dibayar melebihi tempoh enam bulan, jauh melebihi tempoh yang dimaklumkan sebelum ini iaitu satu hingga dua minggu. – UTUSAN










