IPOH: Jualan pakaian sempena Deepavali tahun ini perlahan, dipercayai disebabkan pelanggan berjimat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang menjejaskan ekonomi keluarga.
Ini dirasai peniaga Little India di sini apabila sambutan daripada pelanggan yang membeli keperluan perayaan itu tahun ini jauh berbeza.
Pemilik syarikat menjual pakaian Libas (M) Sdn. Bhd., Andar Singh Suba Singh berkata, pelanggan dilihat berhati-hati dalam berbelanja untuk persiapan Deepavali kali ini.
Jelasnya, jika dahulu ada yang berbelanja hingga RM2,000 membeli pakaian untuk satu keluarga sempena Deepavali, namun kali ini pelanggan berjimat.
“Pelanggan sebaliknya memilih belian pakaian penghabisan stok, ada yang berharga serendah RM20. Ini berbeza dengan sebelum ini sampai ada yang berbelanja hingga RM2,000 beli pakaian untuk keluarga mereka.
“Ini mungkin disebabkan mereka baharu saja menghadapi PKP, ekonomi keluarga pun hendak pulih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Peniaga, G. Shamini berkata, sepanjang 25 tahun berniaga di Little India, sambutan Deepavali tahun ini tidak semeriah sebelum Covid-19, apabila pelanggan kurang berbelanja.
Menurutnya, sebelum ini, dia membuat kuih muruku di bawah khemah di pekarangan premis perniagaannya kerana permintaan yang tinggi.
“Tapi kali ini kuih muruku yang kami jual hanya dibuat di rumah sahaja kerana permintaan yang kurang.
“Selain itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hanya membenarkan 11 khemah perniagaan dipasang di Little India untuk orang ramai membeli keperluan Deepavali, sedangkan biasanya penuh khemah di kawasan itu,” katanya.










