Dalam dunia serba mencabar hari ini, pelakon dan pengacara terkenal, Uyaina Arshad berkongsi pandangan mengenai realiti kehidupan sebagai ibu bapa moden.
Mengakui dirinya masih hijau, Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad menganggap fasa keibubapaan bukan sekadar soal kasih sayang, tetapi turut melibatkan perancangan dari sudut kewangan dan emosi.
Kata pelakon berusia 34 tahun itu, kewangan menjadi antara aspek penting untuk dibincangkan sebelum dan selepas mendirikan rumah tangga.
“Untuk membesarkan anak di tahun 2026 ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan bukan juga sesuatu perkara yang murah.
“Banyak yang perlu kita pertimbangkan, terutamanya pemakanan, pendidikan, simpanan, pelaburan, kesihatan dan sebagainya. Mungkin ibu bapa kita dulu tak cakna tentang perkara-perkara ini.
“Tetapi zaman sekarang ini, ramai ibu bapa yang semakin faham dan tahu kepentingan menabung dari kecil untuk anak-anak, demi memberikan kehidupan yang lebih berkualiti buat mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah ibu tiga orang cahaya mata itu, ibu bapa perlu bersikap realistik walaupun percaya kepada konsep ‘rezeki anak’.
“Saya percaya dengan rezeki yang dibawa anak. Tetapi sebagai ibu bapa, kita perlu menjadi realistik. Jangan berharap tanpa berusaha. Itu juga mungkin antara faktor ramai pasangan lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.
“Saya sebelum berkahwin turut berbincang dengan suami soal kewangan. Mungkin ada menanggap saya materialistik, tetapi bagi saya itu adalah realistik. Hidup perlu berpijak di bumi nyata.
“Kami ada satu kumpulan WhatsApp yang dinamakan ‘expenses’ untuk rekodkan segala perbelanjaan berkaitan rumah tangga dan anak supaya lebih terurus,” jelasnya.
Cabaran Emosi Ibu dan Peranan Suami
Selain menitikberatkan tentang ekonomi keluarga, isteri kepada pelakon, Raja Syahiran itu berpendapat dalam dunia hari ini, persediaan mental, fizikal dan emosi menjadi kunci utama dalam membina keluarga harmoni.
Tidak menafikan ramai golongan wanita berdepan cabaran emosi selepas bergelar ibu, Uyaina menegaskan kaum lelaki perlu memainkan peranan penting, menjaga kesihatan mental dan fizikal isteri.
“Sejak mengandung, melahirkan anak, hingga ke fasa menyusukan, semuanya adalah satu perjuangan antara hidup dan mati yang sukar ditempuh. Banyak yang diambil daripada seorang wanita. di sinilah peranan kaum lelaki itu dilihat penting,” katanya.
Tambah Uyaina, kerjasama dari pasangan membantu dalam meringankan beban seorang isteri ketika membesarkan anak.
“Jangan biarkan isteri buat semuanya. Nak ada anak perlu kerjasama.
“Takkan semua benda nak kena beritahu baru nak buat? Jadi suami yang lebih rasional. Kalau tidak, jangan menyusahkan,” katanya.
Uyaina turut berpesan buat ibu bapa agar pasangan tidak saling menyalahkan ketika berdepan tekanan.
“Tak mengapa untuk rasa terkejut. Jangan menyalahkan diri sendiri. tiada manual dalam menjadi ibu bapa. Setiap ibu dan ayah berbeza.
“Dan kita lebih tahu tentang diri kita, pasangan dan bagaimana kita mahu membentuk anak-anak. Jadi jika berlaku di luar jangkaan, jangan salahkan diri sendiri.
“Jangan terlalu banyak menuding jari. Kalau lelah dan penat, ambil masa,” ujarnya.










