PETALING JAYA: Skuad Harimau Muda Bawah 16 (B-16) diingatkan agar berwaspada terhadap ancaman pasukan Laos menjelang aksi separuh akhir Kejuaraan Bawah 17 Tahun (B-17) ASEAN 2026 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo pada esok.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, meskipun rekod secara atas kertas memihak kepada Malaysia, namun itu bukanlah jaminan buat anak buah Shukor Adan untuk berasa selesa sekaligus perlu mengubah mentaliti di atas padang.
Katanya, corak kejohanan kali ini menyaksikan beberapa keputusan di luar jangkaan, yang membuktikan setiap pasukan memiliki potensi untuk mencipta kejutan.
“Kalau kita tengok perjalanan kejohanan ini, banyak keputusan yang tak dijangka. Kita sendiri kalah kepada Vietnam sebelum bangkit menang terhadap Indonesia dan Timor Leste.
“Laos pula muncul sebagai juara kumpulan. Itu satu isyarat jelas bahawa mereka bukan lagi pasukan yang boleh dipandang ringan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Jamak menegaskan, status Laos sebagai pendahulu kumpulan B perlu diberi perhatian serius oleh skuad negara jika mahu melangkah ke pentas final.
“Mungkin sebelum ini kita pernah menang besar ke atas Laos, tetapi situasi sekarang berbeza. Mereka datang dengan keyakinan dan momentum. Jadi Malaysia perlu lebih berwaspada.
“Kita bermula agak perlahan, tetapi kemudian bangkit dalam dua perlawanan berikutnya. Momentum itu penting dan perlu diteruskan.
“Ada pasukan bermula baik tetapi prestasi merosot. Kita pula sebaliknya, jadi harapnya aksi menentang Laos nanti lebih baik,” katanya.
Mengulas aspek yang perlu diperbaiki, Wan Jamak menekankan kepentingan kekuatan mental dan fizikal pemain, terutama dalam aksi kalah mati.
“Bila dah sampai separuh akhir, itu sebenarnya seperti perlawanan akhir. Pemain kena buang jauh keputusan lalu, sama ada menang atau kalah.Fokus sepenuhnya kepada perlawanan menentang Laos. Itu yang paling penting,” jelasnya.
Untuk rekod, skuad negara berjaya mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan A selepas berjaya menewaskan Timor Leste 2-0 dalam aksi terakhir sekaligus menggalas cabaran di peringkat separuh akhir menentang Laos. – UTUSAN










