PELAKSANAAN pendekatan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) menandakan satu fasa penting dalam usaha memperkukuh kecekapan sektor awam negara.
Melalui agenda ini, setiap program latihan akan dinilai secara menyeluruh bagi memastikan impaknya benar-benar menyumbang kepada peningkatan kompetensi penjawat awam.
Pendekatan ini juga memastikan penjawat awam sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu yang semakin kompleks dan dinamik.
Dalam konteks ini, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) memperkukuh pendekatan latihan yang lebih fleksibel, digital dan berasaskan keperluan semasa.
Pengurusan INTAN juga menyedari kepentingan untuk keluar daripada zon selesa.
INTAN tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai pusat latihan, sebaliknya perlu muncul sebagai pusat rujukan strategik dalam pembangunan dasar negara.
Sehubungan itu, Pengarah INTAN telah menggariskan enam hala tuju baharu bagi memperkukuh daya saing institusi ini dalam melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan.
Pertama, INTAN memperkukuh penerbitan dan penyelidikan berimpak tinggi yang menyokong pembentukan dasar awam berkesan dan inklusif.
Kedua, INTAN merancakkan pembangunan kepimpinan serta profesionalisme melalui latihan berteraskan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus beretika.
Ketiga, INTAN memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai institusi dalam dan luar negara bagi memperkaya perkongsian ilmu serta amalan terbaik global.
Keempat, INTAN membudayakan inovasi dan memanfaatkan teknologi digital melalui pendekatan pembelajaran hibrid serta ekosistem pembelajaran digital.
Kelima, INTAN meletakkan dirinya sebagai peneraju konsultasi sektor awam dengan menawarkan khidmat nasihat strategik dalam bidang pengurusan organisasi, kepimpinan dan perubahan.
Keenam, INTAN memantapkan ekosistem pemboleh daya merangkumi tadbir urus dalaman, pembangunan kompetensi warga kerja serta persekitaran kerja yang kondusif.
Kesemua hala tuju ini selari dengan prinsip HEMAT yang menekankan hijrah tatakelola, empati rakyat, minda pekin, apresiasi inovasi dan ketelusan tadbiran. Prinsip ini menjadi asas penting dalam memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi di INTAN.
INTAN kekal sebagai institusi strategik dalam membentuk perkhidmatan awam yang progresif dan berdaya saing.
Dengan sokongan padu warga kerja serta kerjasama pelbagai pihak, INTAN diyakini mampu terus melahirkan penjawat awam yang bukan sahaja kompeten, malah bersedia menerajui masa depan negara dengan lebih cemerlang. – UTUSAN
KHAIRIL AZWAN ABU MANSOR & MOHD NOR FITRI AFFENDI MUSTAFA
Unit Diploma Pascasiswazah
Pengurusan Awam (UDPA),
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)










