PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memantau pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) buat sektor awam Persekutuan.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri mahu agar keberadaan penjawat awam disahkan sepanjang pelaksanaan BDR itu.
“Walaubagaimanapun, penyampaian perkhidmatan pihak kerajaan kepada rakyat khususnya urusan di kaunter terus beroperasi seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan turut mengulangi seruan agar sektor swasta turut mempertimbangkan pelaksanaan BDR bagi bahagian atau fungsian yang bersesuaian.
Pelaksanaan dasar BDR bagi sektor perkhidmatan awam Persekutuan di seluruh negara bermula hari ini namun, penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat khususnya urusan di kaunter terus beroperasi seperti biasa.
Media sebelum ini melaporkan, pelaksanaan dasar yang melibatkan kira-kira 200,000 penjawat awam itu adalah sebagai langkah strategik kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat
Ia melibatkan kepada penjawat awam Persekutuan di Putrajaya, Kuala Lumpur, serta semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat. – UTUSAN










